Skip to main
Logo Malaysiakini

Nikki Palikat bungkus diri sendiri demi bawa lagu Siti Sarah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Demi memastikan lagu terakhir yang sepatutnya dinyanyikan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin - Sudah - dapat dipersembahkan dengan penuh makna, Nikki Palikat sanggup bereksperimen ke atas dirinya sendiri.

Bagi Nikki, diberi kepercayaan untuk menyempurnakan lagu sepenuhnya ciptaan Naim Daniel itu adalah satu tanggungjawab amat berat.

Justeru, katanya, dia perlu mendalami setiap bait lirik lagu itu dan membawa emosinya dengan sebaik mungkin.

“Betul, saya rasa satu tanggungjawab berat sebab ni lagu terakhir yang sepatutnya arwah nyanyikan. Demo dah ada, tinggal nak masuk ke studio dan vokal saja tapi tak ada rezeki untuk arwah.

“Apabila dapat lagu ni dan Shuib pula merestui, saya teruskan. Tapi saya sampaikan lagu ni bukan untuk tayang vokal sendiri semata-mata.

“Sebagai anak teater, saya suka buat eksperimen, kali ni dengan ikat tangan dan bungkus diri dalam comforter (selimut tebal) sambil nyanyi untuk lihat hasilnya bagaimana,” katanya.

Menurut Naib Juara Gegar Vaganza musim kelapan itu, Sudah berkisahkan mengenai seseorang yang putus harapan.

“Saya cuba sampaikan bagaimana cara orang yang putus harapan ni hingga tak ada tenaga untuk bercakap. Jadi nadanya pun berbeza.

“Saya harap apa yang saya cuba terjemahkan dalam lagu ini sampai kepada pendengar,” jelasnya pada pelancaran lagu itu di Red Box The Garden, Kuala Lumpur semalam.

Untuk rekod, lagu Sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital mulai 25 Mac lalu manakala muzik video boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music.

Mengulas detik merakam lagu bersejarah buatnya itu, Nikki, 36, berkata dia tidak dapat menahan sebak hingga terpaksa menghentikan seketika penggambaran video muzik single berkenaan.

Menurutnya, tindakannya itu menyebabkan dia berasakan wajar untuk memohon maaf kepada pihak produksi atas apa yang berlaku.

“Disebabkan saya faham sangat dengan jalan cerita di sebalik lagu ni.

“Saya terpaksa minta pihak produksi hentikan seketika penggambaran.

“Saya juga sudah memohon maaf kepada pihak produksi kerana tak dapat tahan emosi pada satu babak yang pada saya cukup menusuk perasaan,” katanya.