Skip to main
Logo Malaysiakini

U.K's teruja pertama kali bikin konsert besar lepas suku abad

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bagi meraikan penglibatan U.K’s selama 25 tahun dalam industri muzik tanah air, sebuah konsert bakal diadakan buat julung kali selama dua malam berturut-turut bermula 17 Jun depan di Istana Budaya.

Vokalis U.K’s, Amir yang sebelum ini terkilan tidak diberikan kesempatan membuat persembahan besar sejak 25 tahun menjadi anak seni berkata kumpulan berkenaan sangat berbesar hati apabila diberi peluang keemasan itu.

Katanya, apatah lagi apabila mereka diberi peluang mengadakan konsert berskala besar di tempat yang penuh berprestij seperti Istana Budaya.

“Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, beraksi di Istana Budaya adalah impian setiap artis rakaman dan peluang seperti ini tidak harus dilepaskan U.K’s. Peluang beraksi di Istana Budaya dapat membuktikan lagi pencapaian dan tanda aras yang lebih tinggi dalam kerjaya muzik kami selama ini.

“Saya percaya konsert ini memang cukup dinantikan peminat-peminat setia yang selama ini membesar dengan lagu-lagu U.K’s.

“Setiap lagu pastinya mempunyai nostalgia tersendiri buat mereka. Lagu-lagu U.K’s memang mempunyai impak yang tersendiri.

“Ada mendengar lagu U.K’s kerana putus cinta. Yang bercinta kerana lagu U.K’s pun ada. Semua orang punya nostalgia masing-masing dengan lagu U.K’s,” katanya pada satu kenyataan.

Menurut Amir lagi, memandangkan mereka mempunyai banyak lagu-lagu hit, ia sememangnya memberikan satu cabaran buat mereka untuk memilih 25 lagu yang bakal dipersembahkan dalam konsert ini nanti.

“Dari awal lagi, kita sudah senaraikan lebih daripada 30 buah lagi dan untuk memilih 25 buah lagu daripada senarai ini cukup memeningkan, apatah lagu ia perlu diaturkan mengikut kesesuaian segmen dan repertoire.

"Tapi, apa yang boleh saya katakan di sini, semua lagu-lagu hit U.K’s jadi jadi kegemaran setiap peminat, kita akan nyanyi dan persembahkan,” katanya.

Band muzik yang menjadi anak didik komposer tersohor Saari Amri itu menghasilkan tujuh album studio Tinggal Irama (1989), Mencari (1992), Bisa Berbisa (1994), Tajam Menikam (1995), Panas Berpanjangan (1996), Cuma Aku Yang Hidup (1997) serta Pijar Kasmaran (2000).

Album ketiga mereka iaitu Bisa Berbisa menjadi album paling laris dijual dengan jumlah 400,000 unit di pasaran tempatan manakala album keempat iaitu Tajam Menikam (1995) pula paling laris dijual di Indonesia iaitu sebanyak 700,000 unit.

Ia sekaligus menjadikan band muzik itu semakin meledak di negara tetangga berkenaan.

Antara lagu-lagu hit mereka adalah Kau Satu-Satunya, Seksa, Sebak, Tergamak Kau, Pahit Akan Manis Akhirnya, Siapa Yang Rampas Cintamu, Bila Diri Disayangi dan Di sana Menanti Di sini Menunggu.

Dianjurkan Mac Training Sdn Bhd bersama RCD Concepts Sdn Bhd, Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun itu bakal menyaksikan gabungan semula ahli-ahli kumpulan U.K’s yang asal iaitu Mohd Azmir Muhammd Yusuf atau Amir selaku vokalis, Rozdenil Toni (Denil) - pemain gitar, Mohd Saleh Mohd Alias (Olley) – pemain bass serta Amiruddin Sharif (Amirul) – pemain dram.

Konsert yang berdurasi selama dua jam dan melalui 25 lagu yang bakal dipersembahkan Amir dan rakan-rakannya itu turut dibantu dua pengarah muzik berkaliber iaitu Mohd Rafi Shafie (Rafi) dan Ahmad Firdaus Mahmud (Firdaus) serta Mustafa Kamal Ahmad (Mus Satira) sebagai pemain gitar undangan.

Rafi dan Firdaus bukan sahaja bertindak sebagai pengarah muzik tetapi mereka juga turut menjadi pemuzik undangan bersama kumpulan Mohram yang terdiri daripada Mohar dan Ramli serta kumpulan vokal latar terkenal, Jad Lobo dan pasukannya.

Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun itu akan menjadi lebih bermakna apabila mendapat sentuhan pengarah kreatif Shamsul Cairel dan pengarah teknikal tersohor, Rozaimi Che Di yang juga pengarah urusan RCD Concepts Sdn Bhd.

Selaku penerbit, Samirah Hambali berkata pihak producer Mac Training Centre Sdn Bhd dan RCD Concepts Sdn Bhd amat berbesar hati untuk menganjurkan konsert buat kumpulan U.K’s yang julung kali pertama diadakan itu.

“U.K’s adalah sebuah nama yang besar dan mempunyai pengikut yang ramai bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara jiran.

“Pasti ramai yang teruja dan sudah lama menantikan sebuah konsert berskala besar daripada U.K’s ini yang pastinya akan menghiburkan serta dapat membangkitkan semula nostalgia kehebatan kumpulan U.K's pada suatu masa dahulu.

“Pihak kami juga mengalu-alukan kesediaan mana-mana pihak korporat yang sudi menaja Konsert U.K’S Reunion 25 Tahun sebagai sebahagaian daripada projek atau kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membuka ruang dan peluang kepada warga seni baik di depan tabir mahupun di belakang tabir untuk bekerja semula setelah lama terkesan akibat pandemik,” katanya.