Skip to main
Logo Malaysiakini

Natasha Hudson kembali bergelar isteri, enggan perkahwinan disensasikan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon Natasha Hudson kembali bergelar isteri apabila mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan dikenali sebagai Jay Jasmin.

Pasangan tersebut disatukan sebagai suami isteri di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, Natasha atau nama sebenarnya, Natasha Liana Hudson, 39, mengharapkan agar perkahwinannya kali ini tidak disensasikan pihak media.

“Doakanlah banyak-banyak buat kami dan sekeluarga hingga ke akhir hayat. Buat pihak media, tolong jangan keluar dengan tajuk laporan tidak betul demi menjual berita kalian.

“Saya akan mengambil tindakan keras sekiranya kalian mencalarkan nama baik saya dan keluarga.

“Tolong tulis tajuk yang positif kalau kalian berniat nak tulis kerana saya tidak mahu sebarang publisiti murahan,” kata Natasha di Instagram.

Natasha menyifatkan Jay sebagai seorang yang amat memahami selain banyak mengajar dirinya erti kehidupan.

Natasha memuat naik semula di Instagram beberapa imej yang dikongsi oleh rakan selebriti serta kenalan yang hadir ke majlis pernikahan mereka.

Dalam perkongsian tersebut, pasangan berkenaan dilihat mengenakan baju sedondon berwarna peach sambil duduk bergambar di atas pelamin.

Pasangan itu dikatakan mula berkawan rapat sejak setahun lalu semasa Jay yang lebih muda usianya menyertai aktiviti luncur ombak di Langkawi, Kedah.

Terdahulu, Natasha bercerai dengan suami keempatnya, Noor Nashriq pada Oktober 2019 selepas setahun berkahwin.

Setahun sebelum itu, Natasha atau nama penuhnya Natasha Liana Hudson mengakui sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.

Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.

Natasha juga pernah berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd Raih pada 2006 namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan.