Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes dadah: Zarina Anjoulie didenda RM4,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Majistret Seremban menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Zarina Anjoulie selepas pelakon itu mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun 2021.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman mengesahkan yang Zarina membuat pengakuan itu semalam.

Selain denda, majistret Mohd Firdaus Saleh memerintahkan Zarina untuk menjalani tempoh pengawasan polis selama dua tahun.

Menurut laporan itu lagi, Zarina telah membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, Zarina atau nama penuhnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul, menggunakan dadah jenis methamphetamine pada 29 Jun 2021 dan ujian medapati air kencingnya positif dadah tersebut.

Dia didakwa mengiktu Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Perbicaraan sepatutnya diadakan hari ini tetapi peguam Zarina, Ahmad Faiz Munawar sebelum ini memohon agar ia diawalkan sehari.