Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas Chris Rock ditampar, polis sedia tahan Will Smith

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penerbit Oscar, Will Packer mendedahkan polis Los Angeles telah dikerah dan sebenarnya sudah bersedia untuk menangkap Will Smith selepas aktor itu menampar Chris Rock dalam insiden berlaku 28 Mach lalu.

Namun, katanya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan selepas Rock memutuskan untuk tidak mendakwa Smith.

“Mereka berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu serangan, itu perkataan yang digunakan pada waktu itu.

“Kami telah bersedia untuk menahannya. Kami boleh mendakwanya, dan kami boleh menahannya,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan ABC Good Morning America semalam.

Ketika siaran langsung majlis Oscar ke-94, Smith naik ke pentas selepas Rock mempersenda imej botak isterinya, lalu menampar pelawak itu yang sedang menjadi penyampai anugerah pada acara tersebut.

Kurang sejam kemudian, pelakon I Am Legend itu memohon maaf secara rasmi kepada pelawak tersebut ketika menerima anugerah Pelakon Terbaik untuk lakonannya dalam filem King Richard.

Di belakang tabir, anggota polis melakukan perbincangan bersama Rock untuk tindakan yang harus diambil terhadap Smith, kata Packer.

Dalam kenyataannya di media sosial sehari kemudian, Smith sekali lagi memohon maaf kepada Rock serta menyifatkan tindakannya itu sebagai “tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.”