Skip to main
Logo Malaysiakini

Anis Nabilah dinobat Cef Paling Berpengaruh Asean 2022

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bidang kulinari yang diceburi sejak 14 tahun lalu membawa nama Cef Selebriti, Anis Nabilah ke suatu tahap yang cukup membanggakan.

Anis Nabilah, banyak mengumpul pengalaman dari bawah. Setiap pencapaian yang diraih hari ini adalah berkat dan usaha gigih wanita itu yang tidak kenal erti putus asa.

Terbaru, Anis Nabilah yang juga selebriti di bawah syarikat pengurusan Universal Music Malaysia dinobatkan sebagai Cef Paling Berpengaruh Asean pada Asean Food & Travel Awards 2022 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara semalam.

Anis Nabilah berkata, dia berterima kasih kepada Tourism Malaysia kerana mempromosikan negara ini kepada dunia.

Jika mengimbas semula perjalanannya hingga berada pada tahap sekarang, Anis Nabilah berkata segalanya berbeza.

“Dulu saya pernah diberitahu, saya terlalu muda untuk mengajar orang memasak. Sukar untuk wanita berjaya dalam industri ini.

“Tapi saya tidak mengendahkan komen itu dan teruskan, kerana saya suka mengajar dan berkongsi resipi. Ia adalah minat saya.

“Saya gembira saya terus ke depan hingga membawa saya ke sini hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada majlis itu, Anugerah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Menurut Anis Nabilah, dia bangga apabila melihat industri yang diceburinya itu semakin berkembang dan diminati ramai.

Katanya, semasa rancangan pertamanya disiarkan di kaca televisyen (TV) pada 2007, hanya segelintir daripada mereka membuat rancangan memasak.

Malah jelasnya, dia cuma ‘anak kecil’ berbanding legenda masakan tempatan seperti Cef Wan, Cef Ismail, Cef Florence.

“Semasa saya mula-mula dalam industri ini, memasak di TV, iaitu lebih sedekad yang lalu semuanya berbeza. Tiada program realiti memasak, tiada YouTube dan tiada resipi Google.

“Saya masih ingat sebagai seorang pelajar, cara untuk belajar mengenai masakan lain atau resipi adalah dengan membaca buku masakan atau menonton rancangan masakan yang terdapat di kaca TV.

“Tapi kini, saya melihat kanak-kanak mencipta kandungan masakan di media sosial. Maksudnya betapa ia sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Mengulas pendapat ramai orang bukan cef tetapi mahir membuat kandungan memasak, Anis Nabilah menjawab, dia gembira melihat betapa besarnya industri itu sekarang.

Katanya, industri itu sangat berkembang jika mahu dibandingkan ketika dia mula-mula berada dalam bidang tersebut.

“Saya juga gembira terus bertahan kerana ia membuka begitu banyak pintu untuk saya seperti menjelajah dunia untuk berkongsi resipi saya dan bertemu beberapa idola di beberapa acara masakan terbesar di dunia, seperti World's 50 Best Restaurant dan Invite The World to Dinner yang diadakan di Australia.

“Dan itulah kali pertama saya bertemu Heston Blumenthal (salah seorang cef terkemuka dalam gastronomi molekul).

“Bukan saja dapat jumpa dengannya, tapi dapat bersembang, bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dengannya,” ujarnya.