Skip to main
Logo Malaysiakini

Will Smith lepaskan keahlian Oscar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas kontroversi menampar pelawak Chris Rock, Will Smith mengambil keputusan untuk melepaskan keanggotaannya dalam Akademi Seni dan Sains Filem atau Oscar.

Katanya, insiden melempang pada majlis penganugerahan Oscar ke- 94 itu adalah sesuatu yang mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan.

“Saya telah memberi maklum balas secara langsung kepada notis pendengaran tatatertib Akademi dan saya akan menerima sepenuhnya apa-apa dan semua akibat ke atas kelakuan saya.

“Tindakan saya pada penyampaian Anugerah Akademi ke-94 adalah mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan,” katanya dipetik The Hollywood Reporter.

Smith pada masa sama berkata dia bersedia menerima sebarang tindakan yang difikirkan sesuai oleh The Academy.

“Saya mengkhianati kepercayaan Akademi. Saya menafikan calon dan pemenang lain peluang mereka untuk meraikan dan diraikan kerana kerja luar biasa mereka.

“Saya patah hati. Saya ingin kembali menumpukan perhatian kepada mereka yang patut diberi perhatian atas pencapaian mereka dan membenarkan Akademi untuk kembali kepada kerja luar biasa yang dilakukannya untuk menyokong kreativiti dan kesenian dalam filem,” katanya lagi.

The Academy sebelum ini berkata ahli lembaga sedang berbincang mengenai langkah yang akan diambil terhadap Smith termasuk sama ada menggantung, mengusir atau mengharamkan keahliannya.

Smith juga diberikan masa 15 hari oleh The Academy untuk menyatakan surat tunjuk sebab atas tindakannya yang disifatkan satu keganasan.