Presiden Ukraine bawa kisah perang ke Anugerah Grammy
Presiden Ukraine 'tiba-tiba' muncul memberi ucapan di majlis berprestij Anugerah Grammy ke-64 yang berlangsung di Grand Garden Arena, Las Vegas, AS hari ini.
Melalui rakaman video itu Volodymyr Zelensky berucap sambil merayu meminta semua penonton serta mereka yang hadir dalam majlis tersebut menyokong Ukraine "walau dengancara apa sekali pun."
“Apakah yang berlawanan dengan muzik? Kesunyian bandar yang musnah dan mereka yang dibunuh kejam oleh pihak tidak bertanggungjawab. Anak-anak kami melukis roket, bukannya bintang.
“Lebih 400 kanak-kanak mengalami kecederaan dan 154 lagi meninggal dunia. Dan kita semua tak akan dapat melihat mereka melukis,” katanya.
Perang Rusia-Ukraine berlanjutan sejak 24 Feb lalu, menyaksikan banyak kemusnahan infrastruktur dan ramai penduduk Ukraine dilaporkan media melarikan diri ke negara jiran.
Zelensky sebelum ini lantang bersuara demi meraih sokongan antarabangsa untuk negaranya sejak ia diceroboh tentera Rusia.
Katanya lagi, “perang tidak membenarkan kita memilih siapa yang akan terselamat dan siapa yang kekal dalam kesunyian abadi.”
“Pemuzik kami memakai baju perisai berbanding tuksedo. Mereka menyanyi untuk mangsa yang cedera dalam hospital.
“Meskipun mereka tidak dapat mendengar, tetapi muzik tetap akan sampai ke dalam jiwa. Kami mempertahankan kebebasan kami untuk hidup, untuk mencintai, untuk menyanyi,” katanya.
Ucapan itu kemudian disusuli persembahan penyanyi John Legend dengan lagu barunya, Free, diiringi pemuzik Siuzanna Iglidan, penyanyi Mika Newton dan penyair Lyuba Yakimchuk, ketiga-tiganya berasal dari Ukraine.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai