Skip to main
Logo Malaysiakini

Harga barang naik: Kuasa tetap di tangan pembeli, kata Azhan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Azhan Rani yakin kuasa masih di tangan pembeli meskipun berdepan segelintir peniaga yang menaikkan harga barang dengan alasan untuk menampung modal sepanjang Ramadan.

Katanya, anggap saja isu yang timbul sebagai ujian kecil di sepanjang bulan yang mulia ini.

“Yang berniaga pasti ada sebab kenapa perlu naikkan harga. Menteri pun keluarkan kenyataan bahawa payah nak kawal harga. Tu yang aku baca semalam la.

“Namun aku percaya, kuasa beli masih pada pembeli. (Dan) ada orang memang terpaksa membeli.

“Ada pula jenis sekadar nak meraikan hak kebebasan buat ghamai (ramai) kat bazar Ramadan selepas 2 tahun terikat dengan segala prosedur musim pandemik. (Padahal) boleh je tak beria membeli,” katanya di Instagram hari ini.

Pemilik nama penuh Azhan Abdul Rani itu mengulas demikian berhubung isu peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga makanan berikutan peningkatan kos bahan mentah.

Malah pelakon drama popular Nur itu berkata setiap individu mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada membeli atau berjimat dengan cara masak sendiri di rumah.

Menjengah ke ruangan komen, didapati kebanyakan netizen bersetuju dengan perkongsian Azhan.

Ia turut mengundang luahan segelintir peniaga untuk berkongsi pengalaman mereka.

Kebanyakan mereka bertegas masih meletakkan harga makanan yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Pada masa sama, Azhan berharap semua orang menggunakan kuasa viral dengan betul agar peniaga yang masih bertahan dengan harga lama dapat menjadi tumpuan.

“Aku rasa kuasa viral ni kadang-kadang boleh membantu. Aku percaya masih ada peniaga walaupun tak ramai tapi masih bertahan dengan harga lama dan prihatin rakyat.

“Kalau korang (kamu) jumpa, apa kata cuba kuasa viral tu. Kongsikan dengan orang ramai.

“Bila tempat-tempat macam tu jadi tumpuan, manalah tahu nanti peniaga-peniaga lain pun boleh ikut sama beri harga munasabah semula,” katanya.