Skip to main
Logo Malaysiakini

Namewee berjuang dapatkan semula akaun digodam dari Rusia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi rap sensasi, Namewee, kini gigih cuba mendapatkan semula akaun YouTube miliknya selepas ia digodam hingga mengakibatkan ratusan videonya hilang sekelip mata.

Namewee yang mendedahkan perkara itu di Facebook menyatakan saluran yang dikendalikannya sejak 13 tahun lalu itu diceroboh oleh seseorang di Rusia.

Melalui kenyataan sama, Namewee juga mengambil kesempatan untuk menyuarakan sokongannya kepada Ukraine yang kini sedang berdepan pencerobohan tentera Rusia.

Ejen Namewee memberitahu The Taipei Times, mereka sudah menghubungi YouTube untuk mendapatkan bantuan bagi mengembalikan semula video muzik dan komen berkaitan selepas ia hilang.

Sebelum itu nama saluran berkenaan tiba-tiba bertukar daripada Namewee kepada sesuatu yang lain dalam bahasa Rusia.

Sebelum penggodaman itu, saluran Namewee itu merekodkan 3.27 juta pelanggan dan 1,432,644,663 tontonan.

“Saya sudah kendalikan saluran ini selama 13 tahun. Ia suatu perjalanan yang amat panjang, tapi sekarang semuanya hilang begitu saja,” katanya yang kini berada di London.

Nama Namewee mengundang perhatian umum rentetan hasil kerjayanya yang merangkumi lagu-lagu kontroversi seperti Negarakuku yang diterbitkan pada 2007, Oh My God (2016), Like A Dog (2018) serta filem Babi (2020).

Terbaru, pada Oktober tahun lalu namanya diharamkan di China gara-gara lagu berbahasa Mandarin, Fragile, yang dinyanyikan secara berduet dengan Kimberley Chen dari Australia.

Lagu itu menyindir Beijing dan penyokongnya dalam kalangan diaspora China yang sedia menerima laporan media rasmi negara berkenaan.

Walaupun video dan lagu itu dilarang daripada perkhidmatan penstriman muzik di China, ia telah ditonton oleh jutaan orang.

Untuk rekod, anak kelahiran Muar, Johor itu ialah graduan Universiti Ming Chuan Taiwan dan dicalonkan tiga kali untuk penyanyi lelaki Mandarin terbaik di Anugerah Golden Melody Taiwan.