Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mengenang arwah Zain Hamzah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Seorang demi seorang penggiat seni hiburan meninggalkan kita pada minggu lalu. Bermula pelawak, Amran Tompel, kemudian wartawan hiburan juga pengurus artis Faizal Sahuruni, disusuli seorang lagi wartawan hiburan dan penulis lirik Rudy Imran Shamsudin, seterusnya Zain Hamzah.

Keesokannya (Sabtu) tiba masa untuk pelakon JD Khalid.

Kepergiaan Zain, 84, malangnya tidak diperkatakan media. Kecuali Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang membuat liputan sewaktu pengebumiannya itu di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn.

Itu pun hanya melalui hantaran Instagram Finas. Seandainya Finas sendiri tidak membuat liputan, bermakna kita berdepan dengan keadaan teramat serius. Hal itu kerana arwah merupakan mantan ketua pengarah mereka.

Penulis sempat hadir pada hari pengebumiaan Zain. Memerhati dari jauh penulis dapati memang tidak wakil mana-mana media arus perdana yang hadir.

Hal itu sangat berbeza dengan tumpuan yang diberikan kepada Zain pada era 1980-an. Ketika itu Kompleks Finas selalu menjadi lubuk berita buat wartawan hiburan.

Bertemu Zain ketika itu, wartawan berpotensi untuk mendapat bukan satu - bahkan sehingga dua tiga - berita. Berita yang disiarkan pula bukan biasa-biasa kerana Zain dan kontroversi itu seolah-olah berpisah tiada.

Semasa menjadi bos besar di Finas, Zain giat mempromosikan slogan “Filem Kita Wajah Kita.”

Baru berjinak-jinak

Untuk rekod, kini jawatan ketua pengarah sudah tiada di Finas. Ia digantikan dengan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan tokoh yang mengisinya datang dan pergi.

Masing-masing memiliki karakter tersendiri. Kini jawatan CEO Finas disandang Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Sukar menidakkan era Zain - yang mengambil alih tugasan ketua pengarah selepas kematian penyandang pertama, Ismail Zain - dari 17 Sept 1985 hingga 1 Jun 1994 adalah period paling getir buat Finas.

Masyarakat filem mengharapkan sesuatu yang ajaib dipacu deras oleh Finas sesudah filem Melayu mengalami tempoh semput berikutan penutupan tiga studio gergasi filem Melayu (Studio MFP di Jalan Ampas, Studio Cathay Keris dan Studio Merdeka).

Majoriti pegawai dan kakitangan Finas ketika itu ialah penjawat awam biasa, yang baru dikerah untuk berjinak-jinak dengan masyarakat filem.

Berlakulah pertembungan emosi dan kontroversi seperti pengarah filem mengamuk dalam forum, pintu cermin Finas dipecahkan, produser 'mengelat' membayar dana Finas, projek usaha sama tidak seimbang dan Pyanhabib memulangkan trofi semasa Festival Filem Malaysia (FFM) tanda protes.

Semua itu bukan saja mewarnakan dunia hiburan dan seni filem malah menjadikan industri berkenaan sarat dengan onak dan duri.

Konflik sesama persatuan dalam penggiliran penganjuran FFM pada pertengahan 1980-an memaksa Zain menyarankan penubuhan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan Jins Shamsuddin menjadi presiden, manakala Norshah Thamby selaku setiausaha.

Wartawan tak puas hati

Sejarah acap kali diabaikan, lalu tatkala timbul isu panas Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, menulis surat kepada Menteri Komunikasi Multi Media, Mohd Salleh Keruak, pada 2016 yang mempersoalkan hala tuju Finas, muncul Yusof Haslam menjadi orang tengah mendamaikan pihak yang terbabit.

Ketika itu ketua pengarah Finas ialah Kamil Othman.

Semasa penulis mendapatkan komen Zain, secara sinis dia menyindir: "Nak damai buat apa?"

Hal itu kerana, pada pandangan Zain, Gafim itu sendiri ditubuhkan oleh Finas, justeru tidak sepatutnya Kamil berasa gentar terhadap Jurey.

Pada penghujung jawatanZain, timbul pula isu panas "wartawan hancing" yang dicetuskan Pengerusi Eksekutif FFM ke-11, Kamarul Arrifin. Ia mengundang rasa tidak puas hati kumpulan wartawan terhadap Finas.

Walhal hubungan Zain serta pengerusi Finas ketika itu, Abdul Samad Idris, dengan wartawan sebelum insiden berkenaan adalah sangat rapat - bak isi dan kuku.

Penulis sendiri lahir melalui kursus kewartawan kedua anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) dan Finas pada awal 1987. Bahkan pada malam penyampaian sijil di Hotel Pan Pasific, kesemua peserta menerima sijil berkenaan daripada Zain sendiri.

Pada masa sama, biarpun disibukkan dengan tugasan hakiki, jiwa penulis Zain jelas ketara apabila dia sempat menjadi kolumunis Utusan Filem dan Fesyen dengan menggunakan nama pena Zaiham.

Zain juga menulis di Berita Minggu melalui kolum Leraian Rasa, manakala Samad - bekas wartawan Utusan Melayui - menulis di akhbar itu setiap Rabu.

Membentuk pemikiran baru

Melihat pelbagai kemelut dihadapi Zain, Samad dengan cara diplomatiknya akan berseloroh dalam loghat Negeri Sembilan: "Tak payahlah marah-marah, sabar jerlah. Kito samo kito jer-lah."

Era Zain bolehlah dikategorikan karyawan filem tanah air terbahagi kepada pelbagai kelompok yang dibelenggu ego serta prinsip tersendiri.

Tokoh akademik, Prof Dr Asiah Sarji, berkata sebagai agensi kerajaan, Finas bertanggunjawab untuk membangunkan filem tempatan dari segi sahsiah, peraturan dan kualitinya.

"Ada aspek di situ mereka (orang filem) tidak suka. Ini kerana tradisi orang filem, apa sahaja mereka buat Finas kenalah menerimanya.

"Sedangkan Zain cuba membentuk hala tuju pemikiran seperti pentingnya disiplin. Dalam erti kata sesudah mendapat duit Finas, kenalah berdisiplin membayarnya kembali, bukan beli kereta baru atau lain-lain," katanya.

Asiah juga ahli Lembaga Finas pertama melihat sendiri dalam forum adanya karyawan mengamuk, tetapi dia tidak menyalahkan mereka.

"Saya mendapati mereka bersemangat untuk turut sama membangunkan filem. Cuma mereka tidak terdedah dengan budaya ilmu dan disiplin yang mahu diterapkan oleh Zain," katanya.

Kelompok karyawan ketika itu, kata Asiah, terbahagi kepada pengarah lulusan luar negeri (seperti Othman Hafsham, Jins Shamsuddin, Rosnani Jamil), selain kelompok Rahim Razali, AR Badul, Nasir Jani, Mansor Puteh dan Patrick Yeoh.

Salleh Ghani

Kelompok pengarah veteran seperti Salleh Ghani, Jamil Sulong, Omar Rojik, M Amin dan S Sudarmaji yang masih berkarya pula ketika itu mengambil pendekatan memerhati usaha Finas.

"Setiap kumpulan itu tak sama. Pertembungan pemikiran di antara Zain dengan penggiat filem itu adalah pencetus titik permulaan ke arah satu perubahan dunia filem yang lebih besar," katanya.

Perubahan dimaksudkan itu jelas dengan pelaksaan Akta Finas, pemilik pawagam tidak boleh lagi menerbitkan filem dan ia memberi ruang untuk muncul lebih ramai produser Melayu.

Asal-usul Pancha Sitara

Berbeza di era Shaw Brothers dan Cathay Keris yang menguasai rangkaian pawagam di seluruh negara, membuatkan karyawan filem Melayu sekadar melukut di tepian gantang sahaja.

Sementara itu tentu ramai yang tahu Pancha Sitara, bukan? Ia sinonim dengan P Ramlee. Bagaimapun ramai tidak tahu peranan Zain sebagai penerbit program hiburan di sebalik penubuhan kumpulan itu.

Melalui buku P Ramlee - Di Mana Kan Kucari Ganti karya Aziz Sattar, diceritakan bahawa P Ramlee memberitahu Zain mengenai hasratnya memperkenalkan hiburan Melayu ala The Platters pada Mei 1960.

Menurut Zain, ada beberapa nama disebut S Sudarmaji untuk kumpulan tersebut kerana mereka mahu ia dikaitkan dengan sebutan Sanskrit. Akhirnya dipersetujui perkataan pancha yang bererti lima, merujuk kepada bilangan penyanyi dan alat muzik yang dimainkan.

"Saya mencelah, penyanyi dalam bahasa Sanskrit ialah sitara. Kalau begitu kata S Sudarmaji kita namakan program itu Dendang Pancha Sitara.

"Tetapi pada hari rakaman, perkataan dendang digugurkan lalu jadilah Pancha Sitara," katanya.

Pancha Sitara berkumandang di udara buat kali pertama pada 22 Ogos 1960 selepas warta berita jam 8 malam, diulang siar pada pagi Sabtu di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

"Saya menerima banyak surat pujian dan permintaan agar masa siaran Pancha Sitara dalam 30 minit dilanjut ke 45 minit hinggakan Radio Republik Indonesia (RRI) minta rakaman itu dihantar ke stesen di Jakarta," kata Zain.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang akhbar serta portal kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.