Skip to main
Logo Malaysiakini

Will Smith dilarang hadiri Oscars selama 10 tahun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiada lagi kelibat Will Smith untuk mewarnai anugerah Oscars untuk tempoh 10 tahun akan mendatang.

Hal itu kerana pengendali anugerah berprestij terbabit mengenakan larangan ke atas pelakon handalan tersebut selepas dia bertindak 'terlampau' menampar rakan aktor, Chris Rock, baru-baru ini.

Lembaga yang mengendalikan Anugerah Academy membuat keputusan tersebut dalam mesyuarat yang diadakan seminggu selepas insiden mengejutkan itu berlaku dan mengejutkan jutaan orang di seluruh dunia.

Sebelum itu Smith menarik diri daripada lembaga tersebut.

Presiden lembaga itu David Rubih, adn ketua pegawai eksekutifnya, Dawn Hudson, berkata majlis Oscars ke-94 itu dianjurkan untuk menghargai komuniti perfileman yang melakukan tugas cemerlang pada tahun lalu.

"Bagaimanapun detik tersebut disuramkan tindakan tidak boleh diterima serta membahayakan oleh Smith di atas pentas," katanya mereka dalam kenyataan hari ini.

Majlis Oscars ke-94 berlangsung dengan gemilang pada 28 Mac lalu sehinggalah Rock - yang terkenal dengan jenakanya yang kadang-kadang dianggap melampau - menjadikan isteri Smith, Jada Pinkett Smith, sebagai bahan gurauan.

Smith, 53, kemudian menaiki pentas dan menampar Rock. Awalnya orang ramai menyangka ia sekadar drama yang dirancang terlebih awal.

Bagaimanapun beberapa detik kemudian didapati kejadian tersebut - yang dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia - memang berlaku spontan. Smith kemudian mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada Rock dan Academy.

Pada majlis sama, Smith juga memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik melalui filem King Richard.

Sementara itu mengulas hukuman yang dikenakan ke atasnya, Smith berkata, dia menghormati ketetapan Adacemy tersebut.

Di sebalik larangan selama 10 tahun itu, Academy tidak menyatakan sama ada Smith masih boleh dicalonkan untuk sebarang kategori dalam tempoh berkenaan.

Akhir tahun ini filem terbaru Smith, Emancipation, akan mula ditayangkan. Filem aksi thriller itu mengisahkan kehidupan seorang lelaki yang melarikan diri daripada perhambaan.