Skip to main
Logo Malaysiakini

Nadhir sengaja memilih untuk kekal relevan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Biarpun masih baru dalam industri, pelakon Nadhir Nasar lebih selesa tidak menyambar apa saja tawaran yang datang atas ‘tiket’ pengalaman.

Nadhir berkata, dia mempunyai pandangan sebaliknya.

Jelas Nadhir, dia selesa untuk lebih memilih tawaran dan menyusun strategi bagi memastikan namanya kekal relevan dalam industri.

“Untuk menjadi seorang artis, perlu ada jangka hayat. Atas sebab tu, saya jaga eksklusiviti supaya orang taklah bosan asyik melihat saya di kaca televisyen.

“Selalunya lepas selesai satu projek, saya akan berehat dan fokus buat kerja lain dulu sebab bimbang kalau main ambil semua tawaran, penonton akan bosan dengan saya.

“Penerbit juga akan berasa sama,” katanya.

Menurut Juara Hero Remaja 2020 itu, semua pelakon perlu lebih selektif lebih-lebih lagi pelakon baru.

Kata pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu, seseorang pelakon perlu memastikan sama ada mereka boleh menyampaikan sesuatu naskhah yang dipilih dengan baik atau pun tidak.

“Mereka perlu memikirkan kualiti berbanding kuantiti,” katanya.

Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program Ramadan Syawal bersama Astro baru-baru ini.

Nadhir, bersama Danial Zaini, Erissa Puteri, Hun Haqeem, Wafiy Ilhan, Wani Kayrie, Yaya Zahir serta Upin & Ipin dilantik menjadi duta kempen Ramadan 2022 Astro menerusi tema ‘Semangat Lebaran kita’.

Untuk rekod, nama jejaka berusia 26 tahun itu mula meniti di bibir peminat melalui lakonannya yang cemerlang seperti dalam Projek: Anchor SPM, diikuti i-Tanggang: Mother of All Lies dan terbaharu, Nusyuz Berkiblat Cinta.

Tambah Nadhir, dia juga mengutamakan kualiti bekerja kerana mahu memberikan hasil terbaik kepada penonton.

“Sebagai artis baru, saya dan kawan-kawan ada misi dan visi untuk buat industri seni lebih menyinar. Jadi bagi melaksanakan misi itu, saya perlu utamakan kualiti bekerja.

“Saya juga banyak belajar dengan senior-senior dalam industri dan sebab tu saya memilih jalan saya sendiri iaitu menjaga esklusiviti saya,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran lakonan, Nadhir berkata, ia memang cukup banyak.

Namun, jelasnya, ia perlu diperhalusi sebaik mungkin agar dapat memberikan yang terbaik.

“Alhamdulillah lepas raya ni, saya akan buat persiapan untuk satu projek baru yang memerlukan saya lebih fit (cergas) dan berambut pendek.

“Ada juga beberapa drama yang saya sudah lock, cuma saya belum boleh berkongsi perkara tu lagi,” ujarnya.