Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesihatan mental Yasin perlukan pakar, kata peguam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Yasin Sulaiman memaklumkan pihaknya sedang memohon kebenaran ikat jamin daripada mahkamah supaya penyanyi itu dapat dibebaskan sementara perbicaraan di mahkamah selesai.

Ini salah satu cara yang ada bagi membantu Yasin yang berdepan penyakit bipolar, jelas peguam Yusmadi Yusoff.

Menurutnya, walaupun secara fizikal Yasin dilihat sihat dan mendapat penjagaan yang baik daripada pihak penjara namun kesihatan mentalnya memerlukan pemerhatian pakar.

“Pada Khamis lalu saya melawat Yasin dan dia minta supaya rawatan ke atas dirinya disegerakan.

“Insya-Allah saya akan tulis surat kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh untuk memohon perhatian daripada pihak penjara.

“Saya memang berharap dapat buat pembelaan lebih efektif untuk Yasin agar dia dapat jaminan duduk di luar dengan mengambil kira kedudukan kesihatannya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Yusmadi (gambar, atas) berkata Yasin tidak berselindung berkenaan penyakit yang dialaminya kerana perkara tersebut telah dilaporkan pihak media sejak beberapa tahun yang lalu.

Untuk rekod, Yasin tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan mengedar dadah dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara.

Mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Ketika ini, Yasin secara umum dilayan dengan baik dan mendapat rawatan di Penjara Sungai Buloh, kata peguam itu.

“Alhamdulillah, Yasin dilayan secara umum dengan baik di sana namun dia masih perlu sesuaikan diri dengan suasana baru sebab tak ada pengalaman duduk di penjara,” katanya.

Berkongsi lanjut, Yusmadi menjelaskan dia telah mendapatkan nama-nama doktor pakar yang pernah merawat penyanyi dan komposer itu sebelum ini sebagai rujukan mahkamah.

Katanya, pihaknya juga mencadangkan beberapa doktor pakar bersesuaian untuk pertimbangan pihak penjara.

“Ia termasuk rawatan dengan pakar di Hospital Pantai, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini dikenali Hospital Canselor Tuanku Muhriz) yang dia dimasukkan selama hampir lebih dua minggu pada 2009.

“Kami cadangkan kepada pihak penjara beberapa nama doktor yang pernah rawat dia,” jelasnya lagi.