Bekas isteri harap penyanyi tak perlu tunggu dipenjara untuk berubah
Bekas isteri seorang penyanyi yang ditahan polis kerana didakwa melakukan kekasaran semalam berharap lelaki terbabit terbuka hati untuk segera berubah demi masa depan anak-anak mereka.
Bagi wanita berusia 27 tahun itu, bekas suaminya perlu menunjukkan perubahan sikap dan jangan sewenang-wenang ringan tangan bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.
“Jika saya jadi dia, saya akan mulai fikirkan masa depan anak-anak. Takkanlah nak tunggu sampai masuk penjara baru nak sedar. Sebelum ni dah masuk Rumah Pengasih.
“Dia kena berubah kerana anak-anak yang kian membesar, mereka ni dah mula bersekolah. Kasihanlah pada anak-anak. Malu mereka nanti pada kawan-kawan sekolah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Tambah wanita terbabit dia juga berharap bekas suaminya itu boleh berfikir panjang dan mulai menunjukkan perasaan hormat pada orang lain.
Semalam, media melaporkan seorang penyanyi lelaki ditahan polis kerana dipercayai memukul dan menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya ekoran perselisihan faham di antara mereka di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berada di kawasan parkir kediaman lelaki terbabit untuk mengambil anak lelaki mereka.
Bagaimanapun berlaku perselisihan faham selepas penyanyi terbabit mahu bergambar bersama wanita berkenaan namun ditolak.
Nak dapatkan hak jagaan penuh
Kata bekas isteri penyanyi itu , dia membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan kerana bimbang keselamatan dirinya mungkin dipukul lagi.
Berkongsi lanjut, kata wanita itu, tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana ia melibatkan keinginan bekas suaminya mahu bergambar bersama namun tindakan memaksa itu yang mendorong kekasaran berlaku.
Menurutnya, penyanyi terbabit perlu sedar dia sudah melanggar ruang privasinya kerana ingin bergambar bersama dalam keadaan yang dirasakan tidak wajar.
“Dia naik marah disebabkan saya tak sedia untuk bergambar bersama selepas dia menolak dan menghimpit saya yang duduk di kerusi penumpang kereta. Saya anggap dah macam lucu.
“Sebab nak tangkap gambar, tapi sampai jadi isu pula. Tapi memang sudah beberapa kali saya adukan keganasan dia lakukan pada pihak polis sejak kami bercerai.
“Saya pernah melaporkan dipukul sekurang-kurang tiga kali selepas diceraikan. Yang jadi isu sebab dia nak ambil gambar dan anggap saya seolah-olah masih hak dia. Tak elok macam tu,” katanya.
Dia juga memberitahu ketika kejadian kereta yang dinaiki itu dipandu kakaknya.
Bekas isteri penyanyi itu juga memaklumkan dia merancang untuk mendapatkan hak penjagaan penuh ke atas anak-anak mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai