Skip to main
Logo Malaysiakini

Radhi OAG mengaku tak bersalah cederakan bekas isteri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Vokalis kumpulan OAG, Radhi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan melakukan keganasan rumah tangga terhadap bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri.

Radhi didakwa bertindak kasar terhadap Nur Shahira selepas cubaan untuk berswafoto bersama wanita berusia 27 tahun itu ditolak. Kejadian dikatakan berlaku di ruang parkir kereta di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 19 April lalu.

Pemilik nama penuh Muhammad Radhi Razali itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mahkamah membenarkan Radhi, 45, diikat jamin RM2,500 ringgit dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tidak mengganggu bekas isterinya.

Sebelum ini polis Petaling Jaya mengesahkan seorang penyanyi ditahan reman kerana disyaki memarahi serta memukul badan seorang wanita sehingga menyebabkan mangas mengalami lebam dan sakit pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang.

Ketika itu katanya mangsa berada di kawasan parkir kediaman lelaki terbabit untuk mengambil anak lelaki mereka daripada bekas suaminya sebelum berlaku perselisihan faham.

Untuk rekod, penyanyi Knocked Silly itu bercerai talak satu dengan Nur Shahira Ayu pada 2019.

Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan dua anak Nur Aishah dan Muhammad, masing-masing berusia tujuh dan enam tahun.

Dia sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Jan 2005 dan berpisah secara rasmi pada 8 Jun 2010.

Hasil perkongsian hidup berkenaan, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 15 tahun.