Skip to main
Logo Malaysiakini

Bergelar Che Puan tak buat Juliana Evans goyang kaki saja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bagi Juliana Evans, berkahwin dengan kerabat diraja bukanlah tiket untuk dia boleh ‘bergoyang kaki' di rumah.

Kata pelakon itu, biarpun kini memegang status sebagai Che Puan, dia masih orang yang sama seperti dulu.

Menurut Juliana, walaupun ada pihak berandaian orang sepertinya tidak lagi perlu bersusah payah mencari duit, dia mengakui lebih selesa bekerja keras untuk memperolehi wang saku sendiri.

“Saya suka cari wang sendiri terutama apabila mengusahakan sesuatu yang saya minat. Berlakon dan mengacara adalah minat yang sukar untuk saya lupakan.

“Sebenarnya tak adil untuk cakap saya dah tak perlu bekerja lagi. Tawaran yang yang diterima terlalu banyak dan tanpa henti.

“Bagi saya, jika dapat naskhah dan pengarah yang hebat, mengapa tidak teruskan saja berlakon?” katanya.

Juliana ditemui pada majlis tayangan perdana program raya Awesome TV di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.

Pemilik nama penuh Juliana Sophie Johari Evans itu mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah al-Hajj pada 30 April 2017.

Tengku Shariffuddin Shah merupakan kerabat diraja Johor dan Selangor.

Berkongsi lanjut perkembangan terkininya, Juliana, 32, berkata walaupun bergelar isteri seorang kerabat, ada kalanya dia sering terlupa akan perubahan status yang dialami.

Peraturan kerja 12 jam

Selain daripada mengikut protokol untuk waktu-waktu tertentu ketika menemani suami, katanya, dia masih seorang yang bersederhana dalam menjalani rutin seharian.

Menurut pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu, dia juga sering mendapat peringatan daripada suami disebabkan sikapnya yang gemar hidup berdikari.

Katanya, walaupun suami pada kebanyakan masa menggesa pengawal peribadi untuk mengirinya pada setiap masa, permintaan itu adakalanya ditolak.

“Saya tetap orang sama, sebab dah biasa hidup berdikari sampai terlupa (kedudukan), sampai suami beri peringatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas perjalanan karier seninya untuk kembali bergerak aktif dalam industri lakonan, Juliana menjawab dia kini lebih bersedia berbanding dulu.

Katanya, tugas sebagai penghibur bukan mudah kerana ia memerlukan peruntukan yang banyak misalnya dalam mengupah pembantu bagi memudahkan segala urusan.

“Dulu saya dah lalui kesusahan. Nak jadi artis kena ada pembantu peribadi, juru solek, pemandu dan sebagainya, tu semua perlukan wang.

“Tapi saya dah bersedia. Malahan saya juga mempratikkan peraturan bekerja hingga 12 jam saja kepada penerbit dan produksi memandangkan saya dah ada anak.

“Dan tak ada layanan istimewa diberikan di set penggambaran pun. Tapi saya akui, pihak produksi layan saya macam biasa tu je pun sudah memadai,” katanya.