Skip to main
Logo Malaysiakini

A Aida harap anak-anak manfaat kelebihan rupa, suara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penerbit terkenal, A Aida, pernah merungut apabila anak keduanya yang dirasakan memiliki bakat menyanyi dan rupa tetapi enggan memanfaatkan kelebihan yang ada.

Kata Aida, sebelum ini sudah beberapa kali dia ‘membodek’ Wan Azevanatassha - atau Natassha - agar memenuhi permintaannya untuk mula berkecimpung dalam dunia glamor.

Malah kata Aida, dia juga tidak kisah jika Natassha (pertama dari kiri) mahu menjadi penyanyi kerana beranggapan anaknya itu mempunyai kelebihan dari segi rupa dan suara.

“Dia malah boleh bermain gitar, tapi kenapa tak muat naik di YouTube kebolehannya itu?

“Saya juga ada membebel padanya dan minta dia buat album namun permintaan tu ditolak mentah-mentah,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai harapannya, Aida, 52, berkata Natassha - yang kini menunjut sebagai pelajar jurusan akaun di Universiti Teknologi Mara (UiTM) - hanya membabitkan diri dalam aktiviti hiburan untuk kepuasan sendiri.

“Katanya, dia tak nak. Kalau ada buat aktiviti nyanyian pun, ia hanya disebabkan untuk kepuasan sendiri bukan untuk komersial,” katanya.

Aida berkata demikian ketika ditemui pada majis berbuka puasa bersama Ahli Jawatankuasa Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia di sebuah hotel di Ampang semalam.

Untuk rekod, Natassha adalah anak kedua Aida hasil perkahwinannya dengan penyanyi Ameng Spring, dan pernah tular di aplikasi TikTok sebelum ini.

Menurut Aida, seorang lagi anaknya iaitu kakak Natassha, Wan Az Aleesa, juga mewarisi bakat bapanya.

“Kakak dia (Natassha) pun boleh nyanyi. Sebenarnya dua-dua anak Ameng boleh menyanyi.

“Tapi perhatian mereka ketika ini pada pelajaran. Aleesa sekarang sedang ikuti pengajian peringkat sarjana jurusan gastroenterologi,” katanya.

Kata Aida dia meminta anaknya itu berguru dengan komposer Sharon Paul di studio.

"Saya harap Sharon boleh nanti pujuk agar hatinya berubah. Mana tahu boleh jadi penyanyi lepas ni,” katanya.