Skip to main
Logo Malaysiakini

Baju T cetak rompak Pok Ya, Sabri: Komunis tu....

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sabri Yunus menzahirkan kekesalannya apabila melihat ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan tidak halal menggunakan watak yang diciptanya untuk mengaut laba.

Melalui hantaran di media sosial hari ini, Sabri menyatakan baju T yang memaparkan watak Pok Ya Cong Codei dijual pihak terbabit dibuat tanpa restu daripadanya.

Malah kata pengarah terbaik Anugerah Skrin 2011 itu pihaknya tidak pernah mengeluarkan apa-apa baju T sempena telefilem atau siri Pok Ya Cong Codei itu.

"Ini bukan T-shirt yang halal. Pihak kami tak keluarkan T-shirt ini dan mana mana T-shirt.

"Penggunaan jenama dan wajah ini adalah (suatu) kesalahan apatah lagi tanpa sebarang rundingan," katanya.

Mengiringi hantaran tersebut ialah tangkap layar suatu iklan berbayar di media sosial memaparkan beberapa reka bentuk baju T dengan wajah Pok Ya Cong Codei.

Pok Ya Cong Codei asalnya merupakan karya arahan dan lakonan Sabri yang mencetuskan fenomena pada 2018. Sabri kemudian menghasilkan drapa bersiri dengan watak berkenaan pada tahun ini.

Kata Sabri, apa yang dilakukan pihak terbabit adalah salah sama ada dari segi moral atau undang-undang.

"Komunis tu…" katanya.

Ketika ditanya Malaysiakini mengenai tindakan yang akan diambilnya, Sabri membayangkan dia tidak akan berdiam diri jika penjualan baju tersebut tidak dihentikan.

“Insya-Allah (akan ambil tindakan undang-undang) sekiranya pihak yang mengeluarkan baju itu meneruskan jualannya,” kata dia.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru Sabri memaklumkan dia sudah dihubungi syarikat tersebut yang turut mengemukakan surat permohonan maaf.

“Saya terima permohonan maaf ini. Saya suka sikap begini.

“Semoga jadi panduan juga pada yang lain. Biarlah isi surat ini antara saya dan pemilik syarikat ini saja,” katanya yang berkongsi perkembangan itu di Facebook, hari ini.