Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu meninggal dunia, Achey menangis tepi jalan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ibu pelawak terkenal, Achey Bocey, Ngasiah Hassan meninggal dunia pada 12.46 pagi akibat menderita sakit kanser pankreas.

Berita dukacita itu dikongsikan Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah melalui akaun Instagram miliknya hari ini.

Achey, 35, mengiringi perkongsian itu dengan sebuah video memaparkan dia berada di atas motosikal sambil berhenti di bahu jalan raya.

“Innalillahwainnalillahirojiun. Berapa hari je mak nak raya.

“Ya Allah permudahkanlah perjalanan mak di sana. Kami redha ya Allah.

“Achey atas motor lagi mak, baru balik kerja. Mak baik, mak pergi bulan yang baik. Moga mak jalani waktu yang terindah,” tulisnya di bahagian kapsyen.

Menerusi kemaskini Achey di Insta Story, kelihatan dia sempat berada di Kuala Lumpur pada malam tadi kerana terlibat dengan kerja di acara Starvendors yang berlangsung di WTC.

Terdahulu, arwah ibu Achey baru saja menjalani pembedahan memasang tiub berdekatan saluran hati dengan harapan bengkak yang dialami akan semakin surut.

Ngasiah akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Usaha Jaya, Labis, Segamat bersebelahan dengan pusara arwah bapa Achey.

Pada masa sama, isteri Achey, iaitu Nor Hasanah Yahaya turut berkongsi perasaan dukacita dengan pemergian ibu mentuanya yang meninggal dunia pada 10 Ramadan terakhir.

Hasanah atau lebih dikenali sebagai Anne turut berkongsi video menunjukkan arwah memberi lambaian terakhir untuk mereka sekeluarga.

“Kami akan merindui mak. Pada 23 Ramadan mak pergi meninggalkan kami semua. Allah lebih sayangkan mak. Semoga mak tenang di sana di samping arwah abah.

“Kami selalu mendoakan mak. Ciuman terakhir kami untuk mak. Kami hilang satu lagi doa yang paling berharga dalam hidup kami,” katanya.