Skip to main
Logo Malaysiakini

Azlan belum sedia buat rumah terbuka

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Meskipun negara sedang berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, vokalis Azlan & Typewriter enggan mengambil risiko kesihatan dengan mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, dia lebih selesa terus jaga diri dengan mengamalkan “kesederhanaan dalam kebebasan” walaupun tiada sekatan dikenakan untuk melakukan ziarah mahupun rumah terbuka.

“Saya rasa cukuplah jika kami beraya di rumah keluarga saja. Jika buat rumah terbuka, nanti bila ramai-ramai datang, entah boleh jadi apa.

“Bagi saya, apabila kita diberikan kebebasan, biarlah bersederhana, cukup dengan beraya di rumah keluarga saja.

“Sederhana dalam kebebasan lebih baik,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan Malaysia sedang berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik dan rakyat negara ini harus belajar hidup bersama dengan Covid-19 seiring dengan pembukaan semula sektor ekonomi.

Sehubungan itu, memahami risiko penularan virus tersebut, kerajaan menyarankan orang ramai mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam dan sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan aktiviti harian demi memastikan diri dan keluarga kekal selamat.

Pada masa sama, diminta mengulas alasannya itu, Azlan, 40, menjawab dia masih merasakan situasi belum benar-benar meyakinkan untuk berbuat demikian.

“Jika nak katakan yang kita sudah berada dalam fasa selamat pun belum lagi.

“Kerana jika dah, kita pasti tak ada isu dengan pelitup muka,” katanya yang menyambut lebaran di Kota Tinggi, Johor.