2 ahli Brothers perteguh semangat teman sejati Yasin
Sikap terburuk yang pernah dipamerkan Yasin Sulaiman semasa berdepan penyakit bipolarnya tidak pernah melunturkan semangat setiakawan dua lagi anggota Brothers yang bersahabat baik dengan penyanyi itu sejak lebih 30 tahun lalu.
Demikian luah Abdullah Faiz Mohamad dan Syah Rizal Mohamed yang hadir sebagai tanda sokongan buat penyanyi tersebut di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Untuk rekod ketiga-tiga mereka sudah bersahabat sejak lebih 30 tahun lalu.
Kata Syah Rizal, 45, mereka sudah lali dengan masalah kesihatan dihidapi Yasin, justeru mengambil pendekatan hanya berdiam diri bagi mengelak masalah lebih buruk daripada berlaku.
“Semangat setiakawan kami tak pernah luntur walaupun sedia maklum dengan masalah kesihatan Yasin.
“Yasin sudah menjadi sebahagian daripada kami dan kami juga sebahagian daripada dia. Kami dah lama mengenali sejak usia 14 tahun iaitu di bangku sekolah lagi.
“Justeru, kami faham cara dia bekerja. Jadi kami sentiasa memberi ruang untuk dia bertenang apabila masalah kesihatannya timbul,” jelasnya kepada pemberita.
Hari ini perbicaraan susulan Yasin berhubung pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah.
Dia juga berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium pada 24 Mac lalu.
Turut hadir beberapa rakan lain termasuk penyanyi nasyid Farihin Abdul Fatah dan Presiden Munsyid Malaysia, Muhammad Razin Che Mud.
Menurut Syah Rizal, sekiranya Yasin, 46, konsisten mengambil ubat-ubatan hospital ia boleh menjejaskan tahap mutu kerja penyanyi Mimpi Laila itu.
Katanya, hanya Yasin yang mengetahui bagaimana caranya untuk dia berdepan dengan masalah kesihatan sendiri.
“Jika dia ambil ubat doktor, dia tak boleh buat kerja, sebaliknya akan tidur sepanjang masa,” katanya.
Tambahnya, doktor turut menasihatkan Yasin untuk tidak menonton televisyen kerana bimbang akan menjejaskan lagi tahap kesihatannya terutama berkaitan isu Palestin.
"Dia akan jadi terlalu fokus pada isu perang tu secara mendalam,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai