Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanis Zalikha bermula kekok berlakon dalam filem suami

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Demi menimba pengalaman dalam sebuah filem aksi, Hanis Zalikha berlapang dada menerima tawaran menjayakan The Assistant di samping suaminya, Hairul Azreen selepas tujuh tahun tidak aktif berlakon.

Malah katanya, meskipun peranan yang diterima kecil, dia tetap berpuas hati kerana dapat mempelajari selok-belok penggambaran filem sedemikian di bawah arahan pengarah terkenal, Adrian Teh.

“Saya lebih kepada untuk menyokong suami, kerana saya tahu jika saya buat Hairul lah orang yang paling gembira.

“Filem ni juga berlainan daripada naskhah yang saya pernah jayakan sebelum ni. Seronok dapat jadi sebahagian daripada pelakon yang menjayakan filem ni. Sayang kalau tolak.

“Bila saya lakonkan watak Yasmin, barulah saya faham betul-betul macam mana kerja Hairul apabila dia terlibat dengan filem aksi yang memakan masa sampai tiga bulan penggambaran,” katanya pada tayangan perdana filem berkenaan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Untuk rekod, The Assistant sedang ditayang di pawagam tempatan bermula 19 Mei lalu.

Tambah pemilik nama penuh Hanis Zalikha Zainal Rashid itu, biarpun wataknya cuma sebentar sahaja, dia tetap gementar kerana harus memberikan persembahan yang baik.

“Saya nak lakonkan satu babak saja pun saya rasa banyak benda yang saya perlu lakukan dan saya perlu fit.

“Itu yang saya tak sempat nak lakukan kerana sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak, saya ada banyak perkara yang perlu diuruskan,” katanya.

Berkongsi lanjut, kata Hanis, 31, melihatkan Hairul seorang yang handal dalam melakonkan babak aksi, aktres itu mengaakui dia kekok pada mulanya untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada suaminya itu.

“Sebenarnya bukan senang suami nak ajar isteri dan isteri nak ajar suami. Sama juga macam mak nak ajar anak, kadang-kadang kita akan mudah mengalah.

“Bagi saya, mungkin bahagian ajar mengajar ni, seseorang yang berkelayakan seperti guru saja yang layak mengajar. Bila Hairul cuba ajar saya, saya ni manja dan cepat merungut,” katanya.

Hairul pula berkata, dia pada mulanya dia tidak mahu terlibat dengan sesi latihan isterinya, namun terpaksa masuk campur juga akhirnya.

Katanya, dia naik “geram” melihatkan gelagat isterinya itu ketika sesi pembelajaran.

“Bila saya tengok dia buat pada hari pertama saya jadi geram. Saya cakap saya tak nak tolong awak. Pandai-pandailah awak buat sendiri, awak nak buat aksi kan.

“Tapi bila tengah-tengah tu saya masuk dan terpaksa beritahu ia macam ni, macam ni. Mujur dia seorang yang cepat tangkap (cepat faham),” jelasnya.