Skip to main
Logo Malaysiakini

Finas perhati produser ambil dana tapi lokek promosi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Produser yang mengambil dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diingatkan aar tidak bersikap seperti tangkai jering untuk mempromosikan filem mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Prof Dr Nasir Ibrahim, berkata dia berasa kecewa apabila ada produser yang mengambil dana pemasaran namun publisiti untuk filem mereka amat mengecewakan.

Katanya Finas menawarkan dana pemasaran bernilai antara RM100,000 hingga RM300,000 kepada produser yang layak.

"Ramai produser sudah menerima dana ini, malangnya tiada promosi dilaksanakan sama ada di media cetak, elektronik dan platform lain dan ia antara penyumbang kepada kurangnya penonton datang ke pawagam," katanya dalam pertemuan diadakan baru-baru ini.

Tambah Nasir publisiti penting untuk masyarakat khususnya peminat filem agar mereka mendapat informasi yang berkesan bagi sesebuah filem yang bakal ditayangkan.

Justeru katanya produser filem wajar mencontohi pengusaha produk kecantikan yang sanggup melaburkan jutaan ringgit untuk melaksanakan strategi promosi.

“Justeru selepas ini, saya mahu audit RM200,000 yang diberi itu, promosi yang dikata pihak produser itu diletakkan di mana? Apakah publisitinya ada keluar di televisyen atau surat khabar?

“Finas mahu dengan dana pemasaran, ia boleh mengerak ekonomi pelbagai pihak terutama dari segi kewartawanan, tetapi apa yang terjadi ialah ia cuma menguntungkan satu pihak,”katanya.

Mesti perinci perbelanjaan

Lebih mengecewakan kata Nasir ada produser memohon dana pemasaran berkenaan untuk mempromosikan filem mereka di luar negara, namun logo Finas sendiri tidak disertakan pada poster mereka.

Untuk permohonan terbaru dana tersebut, katanya, Finas menetapkan agar setiap produser menyenaraikan secara terperinci aliran wang keluar bagi menggelak dana berkenaan disalahgunakan.

“Apabila pemantauan tak ada, duit Finas habis begitu sahaja. Kami tak mahu mengulangi amalan memberi begitu sahaja seolah-olah dana charity (kebajikan).

"Untuk permohonan baru, mereka tidak boleh lagi seperti dahulu, produser kena terangkan perbelanjaan dana berkenaan atas tujuan apa.

“Kena masuk sekali A & P (advertising & promotion) dalam permohonan. Pihak produksi mesti terangkan berapa kos A & P supaya di peringkat awal panel boleh tapis,” katanya.

Memang berdasarkan pengalaman selama tiga dekad dalam dunia kewartawanan, memang perit untuk kebanyakan produser tempatan membeli iklan bagi mempromosikan filem mereka di media massa.

Gambar hiasan

Ada filem yang menelan belanja jutaan ringgit pun masih 'tidak mampu' melabur sedikit peruntukan mereka bagi tujuan membeli iklan promosi.

Pernah berlaku ada filem yang menelan kos lebih RM10 juta hasil dana yang disumbang pelbagai pihak termasuk Finas. Apabila tiba masa filem berkenaan akan ditayangkan, pihak produksi terbabit memohon lagi dana pemasaran berjuta ringgit dengan alasan peruntukan yang diterima lebih awal tidak mencukupi.

Budaya menagih publisiti percuma pula seolah-olah menjadi tradisi dalam industri kreatif bagi kebanyakan produser filem tempatan.

Mahu lebih cermat, teliti

Bagi segelintir mereka, mengundang media pada majlis pelancaran dan pratonton filem dengan makan dan minum disediakan saja dianggap sudah memadai.

Berbeza dengan filem Barat khususnya Hollywood apabila kos promosi saja mencecah jutaan ringgit. Umpamanya jika filem baru mahu ditayangkan di seluruh dunia, wartawan pelbagai negara diundang ke sesi pratonton dan diaturkan segmen wawancara bersama pelakon filem berkenaan di Hollywood.

Pada Jun tahun lalu sebanyak 10 persatuan mewakili penggiat industri kreatif dipilih Finas menyertai Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) berjumlah RM1 juta.

Melalui program berkenaan, setiap persatuan diberi peruntukan RM100,000 untuk mengendalikan program meningkatkan tahap profesionalisme dan modal insan ahli.

Menurut Nasir, sebaik mengambilalih tugas CEO Finas sejak 1 Nov lalu, pegawainya sudah diminta mengemukakan laporan terperinci pengisian program dilakukan setiap persatuan itu.

“Apa boleh saya jelaskan, Finas mahu lebih cermat dan teliti, apakah kursus yang mendapat dana sebegini sesuai diadakan dan apakah kebaikan dapat kepada industri,” katanya.

Menurut Nasir, dia agak terkejut apabila mendapati ada persatuan baru yang menjalankan kursus pertama menggunakan dana Finas hanya untuk memperkenalkan ahli dan menerangkan latar belakang persatuan.

Tuntutan untuk program itu, katanya, ialah sebanyak RM8,500.

“Saya terfikir apakah sekadar nak terangkan mengenai persatuan, mereka membuat tuntutan sebanyak itu? Saya kata, ini tidak masuk akal kerana RM8,500 itu untuk bayar apa?

"Program pun dijalankan secara dalam talian. Pengisian program pula presiden menerangkan persatuan dihadiri ahli-ahlinya,” katanya.

Sejajar dengan usaha membantu pemulihan ekosistem industri kreatif yang terkesan akibat penularan Covid-19, pada April lalu Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Finas mempelawa syarikat produksi tempatan dan penggiat industri perfileman memohon Dana Kandungan Kreatif (Sektor Filem) seperti:

(i) Dana Filem Cereka (bernilai sehingga RM1.5 juta)

(ii) Dana Khas Filem Pendek (RM30,000)

(iii) Dana Dokumentari Kenegaraan - Seni Budaya & Warisan (RM250,000)

(iv) Dana Khas Dokumentari Bintang Nostalgia (RM250,000)

Di sebaliknya dua tahun pandemik, lebih 10 filem menunggu giliran tayangan dan ia merupakan ujian getir buat produser tempatan.

Jika produser terkenal pun tidak yakin dengan produk dihasilkan dapat menarik penonton agar kembali memenuhkan pawagam, apatah lagi produser 'suam-suam kuku'.

Kemelut disuarakan beberapa produser itu turut membimbangkannya Nasir selaku pegawai kanan sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan perusahaan filem tempatan.

Menurutnya, berdasarkan perbualan dengan beberapa produser dan pengarah termasuklah produser terkenal seperti Yusof Haslam dan Raja Mukriz, rata-rata mereka begitu bimbang dengan situasi semasa untuk menayangkan filem terbaru masing-masing.

Ketika ini ramai kalangan produser mengambil sikap tunggu dan lihat dalam fasa semasa. Alasan mereka, penjarakan fizikal penonton sepanjang prosedur operasi standard dilaksanakan pihak pawagam membuatkan jumlah penonton berkurangan.

“Faktor ekonomi turut memain peranan apabila ramai yang terjejas pendapatan. Bagaimanapun jika promosi berkesan selain kualiti, filem itu tetap dinanti peminat,” katanya.