Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Masih ada ruang boleh diperbaiki dalam The Assistant

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN FILEM | Jika anda seorang penggemar filem aksi dan ingin menyokong industri perfileman tanah air, inilah naskhah ‘lepas geram’ yang boleh dinikmati selepas negara beralih ke fasa endemik.

Tetapi jika anda seorang penonton tegar filem aksi, maka The Assistant ini bukanlah ‘makanan’ yang sesuai.

Masih terdapat beberapa kelompongan atau kelemahan dipersembahkan pengarah Adrian Teh dalam mengadaptasi buah fikirannya ke filem. Jika dinilai dari sudut penceritaan, karya lain Adrian seperti Wira lebih menyerlah.

Kelemahan paling ketara ingin yang boleh disentuh ialah penggunaan kesan khas imejan dihasilkan komputer (CGI) untuk babak terjatuh dari bangunan.

Sekiranya sesebuah produksi tidak mampu memberikan CGI yang terbaik kerana kekangan kos, saranan mungkin lebih wajar babak berkenaan tidak dimasukkan langsung kerana ia hanya akan merosakkan kualiti sesebuah filem.

Selain itu, prestasi paling canggung dapat dilihat adalah karakter pelakon sampingan yang menambah kekecewaan apabila lontaran dialog menggunakan bahasa baku.

Adakah kemungkinan pelakon watak sampingan berkenaan sebenarnya berasal dari zaman filem P Ramlee?

Bukan kerana pengikut berjuta

Pun begitu prestasi lakonan Hairul Azreen - yang membawa watak Feroz - dalam permainan emosi sebagai seorang lelaki psiko dengan reaksi wajah ganas dan sesekali nakal berjaya disampaikan dengan baik. Aksi bertarung sengit diberikan aktor itu juga memuaskan.

Cuma, apabila seseorang pelakon dilihat terlalu mencuba, hasil diberikan mungkin tidak seperti diinginkan penonton terutama daripada segi nada suaranya.

Hairul sepatutnya sudah mahir menuturkan dialog dengan lebih baik. Kelemahan sama ini turut dapat dilihat dipamerkan dalam Paskal The Movie dan Wira.

Hairul mungkin lebih sesuai diberikan watak yang banyak menggunakan aksi berbanding dialog.

Bagaimanapun, Adrian mempunyai pendapat tersendiri. Dia memilih Hairul disebabkan beberapa faktor pilihan yang digemari.

Katanya, Hairul mempunyai ciri-ciri pelakon kesukaannya malah dia memilih aktor itu bukan berdasarkan 5 juta pengikut yang dimiliki aktor itu di Instagram.

“Saya lihat lakonan Hairul dan saya suka dengan bakat dia,” katanya pada sidang media secara dalam talian diadakan baru-baru ini.

Mungkin disebabkan aksi dan dialog yang banyak daripada Feroz, aura watak itu juga hampir ‘melemaskan’ lakonan Zafik (Iedil Dzuhrie Alaudin ). Namun, dari sisi lain Iedil seorang pelakon yang bersahaja.

Dia mempunyai kelebihan dalam memberikan persembahan memuaskan seperti lakonannya dalam Interchange.

Hasrat membalas dendam

Meskipun tanpa diberikan kelebihan untuk mempamerkan banyak aksi bertarung, Iedil boleh dikatakan berjaya menterjemahkan watak Zafik sebagai lelaki misteri dengan lakonan yang berhasil.

Secara keseluruhan, The Assistant cuba membawa satu lagi pembaharuan buat filem tempatan dengan berani mencuba sesuatu yang segar dan unik.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan, ia tidak menghalang The Assistant daripada mendapat standing ovation daripada penonton di Udine Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali pada 22 April lalu.

Filem itu membuat tayangan perdana di festival berkenaan, selain julung kali dipertontonkan pada festival filem antarabangsa.

Selain FEFF The Assistant juga menerima pengiktirafan Neuchatal International Fantastic Filem Festival di Switzerland.

The Assistant berkisahkan seorang lelaki yang dipenjara secara salah. Setelah bebaskan, dia ingin membalas dendam kepada pembunuh isteri dan anaknya dan bertemu Feroz yang menawarkan kesudian untuk menjadi pembantunya.

Selain Hairul dan Iedil, filem aksi thriller ini turut dibintangi Henley Hii dan Farali Khan.

Filem menelan belanja RM6 juta itu ditayangkan di pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei sejak 19 Mei lalu.

Selepas empat hari tayangan The Assistant mencatatkan kutipan lebih RM1 juta.


NADIA AZAM ialah wartawan yang tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang perfileman.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.