Skip to main
Logo Malaysiakini

Vokalis SOG tegur peminat tegar Siti Nurhaliza

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Vokalis Sekumpulan Orang Gila (SOG), Raja Nazrin Shah memohon penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza untuk menegur tingkah laku sejumlah peminat tegarnya sekiranya mereka bertindak keterlaluan.

Kata anggota kumpulan yang baru memenangi Anugerah Juara Lagu ke-36 itu, sikap mereka hanya mencemarkan imej penyanyi itu yang menurutnya “seorang yang merendah diri.”

“Kita selalu nampak di Twitter, Siti Zoners secara aktifnya merasa mereka sangat entitled (paling berhak).

“Perkara ini sangat tak sihat kerana Siti Nurhaliza sendiri seorang yang sangat merendah diri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran platform media sosial FENIX360 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya lagi, jika diberikan peluang dia sendiri ingin bertemu dengan Siti Nurhaliza bagi meluahkan hasratnya.

Polemik itu berlaku susulan Raja Nazrin menunjukkan tanda setuju dengan membalas ciapan seorang komposer dan penerbit yang tidak berpuas hati mengenai beberapa penyanyi tanah air yang dipaparkan di papan iklan di Times Square, New York.

JD Wong mempersoalkan dalam barisan penyanyi yang ditampilkan di papan iklan itu, siapa yang pernah membuat persembahan di kota itu.

Raja Nazrin dalam ciapannya pula menyelar pihak syarikat rakaman tertentu dan sebuah platform digital penstriman muzik yang dikatakan cuma memikirkan soal wang.

Setakat ini, beberapa penyanyi tempatan yang tampil di papan iklan itu ialah Yuna, Layla Sania, Iman Troye, Dolla, Vanessa, Aina Abdul dan yang terbaru, Siti Nurhaliza.

Menurut penyanyi Pelukan Angkasa itu, ciapan dibuatnya mengundang rasa tidak puas hati ramai peminat dalam kalangan penyanyi yang muncul di papan iklan berkenaan, terutama penggemar lagu-lagu Siti Nurhaliza.

“Yang terasa dalam bab-bab begini ramai Siti Zoners saja. Maksud saya (sebenarnya) antara ketujuh-tujuh penyanyi berkenaan, siapa yang betul-betul pernah mengharumkan nama Malaysia?

“Kalau tanya saya hanya ada dua orang iaitu Yuna dan Siti Nurhaliza. Tapi yang lain, adakah kita boleh rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dengan pencapaian mereka?” ujarnya.

Ditanya sama ada dia sendiri bersikap besar kepala memandangkan baru bergelar juara AJL36, pemilik nama penuh Raja Nazrin Shah Raja Azaham menafikannya.

“Orang selalu cakap saya seorang yang suka cakap lepas. Tapi saya selalu bercakap benda yang betul tetapi pahit untuk ditelan.

“Saya takkan tegakkan benda yang salah. Walaupun saya bukan orang yang popular dalam industri, tapi saya tahu selok-beloknya.

“Jika orang lain tak mahu bersuara, biar saya yang bersuara. Biar saya jadi pemetik api,” katanya lagi.

Menguatkan kenyataannya itu, Raja Nazrin berkata dalam ciapan tersebut, dia sebenarnya lebih menyentuh aspek kesedaran dalam menghargai seni muzik.

Bahkan menurutnya, perdebatan di media sosial itu berlaku mungkin akibat segelintir peminat Siti Nurhaliza yang kurang kesedaran dalam menghargai seni muzik.

“Tahap yang sangat rendah. Perkara macam ini sangat kelakar kerana mereka tak faham konteks. Bila kita jelaskan, mereka bitter.

“Orang pandang artis sekadar untuk menghiburkan masyarakat tetapi ada juga yang mahu buat orang berfikir. Tak boleh pukul rata bahawa artis perlu buat orang gembira,” katanya lagi.