Yasin itu insan yang banyak memberi, kata Faizal
Meskipun didakwa mengambil dan mengedar bahan terlarang, Faizal Tahir yakin pada sisi lain, Yasin Sulaiman ialah seorang insan yang akan selalu “memberi” tanpa mengharap balasan.
Kata Faizal, sepanjang tujuh tahun dia mengenali Yasin, keperibadian menyerlah dimiliki penyanyi dan komposer itu ialah selalu membawa manfaat pada orang lain.
“Walaupun ambil bahan terlarang tu, Yasin tak pernah kacau orang sebaliknya dia selalu memberi. Yasin adalah individu yang selalu menolong orang dalam kesusahan.
“Boleh saya katakan, hatinya bersih iaitu tak pernah buruk sangka pada orang lain. Saya pasti, orang lain juga akan berkongsi pendapat yang sama mengenai Yasin.
“Saya fikir, mungkin bukan saya seorang saja hamba Allah yang berubah menjadi lebih baik disebabkan dia, ada ramai lagi orang lain sebab dia memang suka berkongsi ilmu,” katanya.
Tambah Faizal yang juga penyanyi dan komposer itu, jika ada sesiapa menyedari perubahan pada dirinya sekarang, ia adalah disebabkan Yasin.
Pernah jaga dua tiga bulan
Katanya, dia banyak belajar termasuk berkaitan ilmu agama melalui penyanyi Mimpi Laila itu.
“Kalau saya boleh senaraikan siapa individu paling banyak mengubah kehidupan saya menjadi lebih baik, orangnya adalah Yasin Sulaiman.
“Melalui persahabatan kami, banyak saya belajar soal kehidupan, al-Quran dan tadabur, sekiranya pergi ke rumah Yasin, jika ada masa terluang, dia ajak menonton kandungan berunsur agama di YouTube,” katanya.
Faizal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya dengan Amira Othman, berjudul Alah Bisa di Kuala Lumpur semalam.
Yasin yang tidak dibenarkan ikat jamin kini berdepan dua pertuduhan iaitu menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama.
Bagi pertuduhan mengedar kanabis, Yasin berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Penemuan itu terbongkar selepas dia diserbu pihak berkuasa di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.
Faizal yang juga penyanyi Ragaman itu turut mengakui dirinya terkilan disebabkan lebih setahun dia tidak menjenguk Yasin.
Katanya, sebelum itu dia selalu melawat Yasin ketika menetap di bangunan sama dengan penyanyi itu sebelum berpindah ke kawasan lain.
“Saya pernah menjaga Yasin selama dua hingga tiga bulan sewaktu dia berdepan episod bipolar. Memang kena banyak bersabar sebab perubahan moodnya yang tidak menentu.
“Dia sendiri datang berjumpa dan meminta bantuan ketika tu. Sebagai rakan, saya sayangkan dia dan betul-betul terkilan sebab memang dah berniat nak berjumpa beberapa hari sebelum dia ditangkap.
“Saya terputus hubungan sebentar dengannya ekoran kehilangan arwah bapa dan lepas tu saya sibuk menguruskan mak, anak-anak dan keluarga.
"Saya rasa sangat-sangat bersalah kerana lama tak menjenguk dia,” getusnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai