Sazali bimbang kontrak wang royalti P Ramlee bakal tamat
Anak Allahyarham P Ramlee, Sazali menyuarakan kebimbangan apabila kontrak royalti lagu karya bapanya daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) bakal tamat tahun depan.
Sazali berkata buat masa ini, bantuan bulanan yang diterima daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 tidak cukup bagi menampung perbelanjaan kesihatan dia dan isterinya, Hamidah Hitam.
“Kalau duit royalti sudah tiada, kehidupan saya dan isteri akan susah.
“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara jumlah royalti yang saya terima makin berkurang.
“Jujurnya saya masih berharap kontrak royalti MACP akan bersambung kerana saya bergantung dengan perolehan berkenaan yang diterima sekali dalam setahun,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Menurut Sazali, 63, dia pernah bertanyakan MACP tentang perkara itu tetapi dimaklumkan bahawa berdasarkan perjanjian royalti hanya boleh diperolehi selama tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee.
Untuk rekod, P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 dan tahun depan genap 50 tahun pemergian seniman agung itu.
“Selama ini, saya bergantung hidup dengan duit royalti untuk buat beli barangan dapur, pengangkutan ke hospital, rawatan fisio kaki yang cedera akibat kemalangan, temu janji dengan doktor setiap tiga bulan kerana menghidap asma dan darah tinggi serta penyakit tulang belakang yang dihidapi isteri.
“Saya nak minta tolong dengan siapa sebab sekarang ini semua pun susah. Saya tak boleh buat apa-apa kalau tahun depan kontrak tamat dan sudah tak terima wang royalti yang menjadi kegunaan utama selama ini,” katanya lagi.
Selepas P Ramlee meninggal dunia, royalti daripada karya lagu yang diurus MACP diperoleh isterinya, Allahyarham Saloma.
Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983 dan royalti beralih kepada anak P Ramlee, Allahyarham Nasir. Allahyarham kemudian membahagikan perolehan kepada beberapa waris lain.
Menurut Sazali, memandangkan kontrak royalti MACP akan tamat tahun depan, dia memohon sekiranya ada pihak yang sudi untuk tampil membantu dirinya dan isteri meneruskan kehidupan memandangkan dia dan isterinya sudah tidak berdaya untuk bekerja.
“Kalau ada yang boleh bantu secara bulanan saya sangat menghargainya. Nilainya tidak perlu tinggi pun, cukuplah sekadar saya dan isteri dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“Buat masa ni, saya berjimat-cermat dengan duit bantuan yang diterima. Saya teruskan hidup dengan duit yang ada sekarang,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai