Skip to main
Logo Malaysiakini

Jada harap ada ruang buat Will Smith, Rock berbaik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jada Pinkett Smith berharap ada ruang buat Will Smith dan Chris Rock untuk berdamai selepas kedua-dua mereka terbabit dalam insiden menggemparkan semasa berlangsungnya Anugerah Akademi ke-94 atau Oscars, Mac lalu.

Hal itu pertama kali diungkapkan Jada sewaktu dia diwawancara dalam Red Table Talk yang disiarkan semalam.

“Mengenai kejadian malam Oscar, harapan paling besar saya adalah semoga kedua-dua lelaki yang bijak itu mempunyai peluang untuk berbaik semula, berbincang dan berdamai.

“Kita perlukan kedua-dua mereka. Dan kita juga sebenarnya memerlukan satu sama lain.

"Will dan saya akan meneruskan apa kami buat selama 28 tahun iaitu memikirkan untuk hidup bersama,” katanya dipetik Daily Mail.

Smith, 53, mengejutkan orang ramai apabila dia menampar Rock selepas pelakon itu menyindir penampilan Jada yang botak disebabkan gangguan autoimun.

Kejadian itu disaksikan jutaan orang di seluruh dunia kerana disiarkan secara langsung.

Bagaimanapun, pelakon I Am Legend itu membuat permohonan maaf beberapa hari kemudian.

Gara-gara perbuatannya, Smith turut dihalang daripada menjejakkan kaki ke sebarang anugerah Oscars untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Dalam kenyataannya, Smith mengakui perbuatan menyerang Rock itu sebagai tidak boleh diterima selain mendatangkan malu buatnya.

Laporan daripada beberapa sumber terdekat dengan Rock pula menyatakan, pelawak itu tidak menyedari Jada menderita akibat alopecia sewaktu menyindirnya botak.

Pada episod terbaru Red Table Talk itu Jada mengambil kesempatan untuk berbicara mengenai penyakit alopecia dihidapinya dengan merujuk kontroversi yang berlaku antara Smith dengan Chris.

“Sangat penting untuk kita berbicara mengenai alopecia terutama selepas apa yang berlaku ke atas diri saya di Oscars. Ribuan orang selepas tu hubungi saya untuk berkongsi kisah mereka.

“Saya ingin gunakan ruang ni untuk beri kesempatan kepada keluarga alopecia dan beritahu umum apa sebenarnya penyakit ini,” katanya.