Skip to main
Logo Malaysiakini

Air mata Amy tumpah imbau Yazit

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Di sebalik kehangatan Konsert Endemik Search di Zepp Hall, Kuala Lumpur malam tadi, kumpulan itu sempat mengajak penonton untuk merenung ke belakang sejenak.

Di pertengahan konsert berkenaan, vokalis Search, Amy mengambil sedikit masa untuk bercakap mengenai salah seorang bekas anggota mereka, iaitu pemain dram Allahyarham Yazit Ahmad.

“Sedih, bila perjalanan jauh seperti ni tapi tak ada lagi sahabat yang kami sayang, arwah Yazit. Saya yakin, peminat rindu dengan ketukan (dram) dia.

“Kami rindu pada arwah. Ketika kali pertama dia jatuh sakit, saya beritahu pada anggota band lain untuk jaga keluarga Yazit sekiranya berlaku apa-apa pada dia.

Allahyarham Yazit Ahmad.

“Arwah sendiri berpesan untuk menjaga karya seninya yang dihasilkan dalam Search. Katanya; suatu hari kalau gua tak ada, lu tengok kerja seni gua,” kata Amy sambil menyeka air matanya.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman itu, turut berkongsi kenangan bersama Yazit yang disifatkannya setaraf dengan pemain dram Led Zeppelin, John Bonham.

Kata Amy, dia sering teringat disiplin kerja ditunjukkan serta masakan dari air tangannya yang menjadi kegemaran Yazit.

“Memang kami sangat akrab. Arwah Yazit pula seorang yang terkenal dengan disiplin ketika bekerja. Dia amat menepati masa dan tidak gemar orang yang datang lambat.

“Walaupun serius, arwah juga seorang yang kelakar serta suka dengan gurauan saya. Dia juga menggemari masakan asam pedas serta sambal sardin saya,” katanya.

Amy kemudian mendedikasikan sebuah lagu berjudul Hello Kawan untuk Yazit. Persembahan itu turut diiringi dengan montaj memaparkan imej-imej arwah sejak awal pembabitan dia menyertai band itu.

Allahyarham yang juga pengasas kumpulan Search itu meninggal dunia pada 26 September 2019 di Hospital Kuala Lumpur berikutan komplikasi pelbagai penyakit.

Walaupun band itu kini berusia lebih empat dekad, Konsert Endemik Search bagi malam kedua tetap menyaksikan jualan tiket full house.

Penangan vokal Amy, diiringi muzik padu oleh tiga ikon legenda rock Nasir Daud (bass), Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal yang beraksi lebih dua jam itu berjaya memukau 1,600 peminat yang hadir.

Melihat kepada usia Amy, siapa sangka vokalis yang hampir mencecah 64 tahun itu pada Julai ini masih mampu memberi persembahan penuh adrenalin dan aura luar biasa sepanjang menggegarkan dewan bertaraf dunia tersebut.

Kemahiran pasangan adik-beradik Genervie dan Arthur Kam (dram), pemuzik undangan yang mengiringi acara juga ibarat pelengkap cukup serasi untuk persembahan antara berskala besar dilakukan Search itu.

Sentuhan jurutera bunyi yang diterbangkan dari Jepun, Akira Yamauchi turut menyempurnakan lagi kualiti Konsert Endemik Search dari belakang tabir.

Penampilan Amy, Nasir, Hillary dan Man Kidal sesuai dengan kredibiliti mereka sebagai ikon rock yang terkenal dengan gaya fashion forward.

Konsert ini menyajikan single terbaru Search iaitu Endemik I dan Endemik II, serta 19 lagi lagu yang menjadi kegilaan peminat tegar seperti Isabella, Fantasia Bulan Madu, Rozana, Meniti Titian Usang, Pelesit Kota, Pawana dan Isi Atau Kulit - termasuk yang jarang dipersembahkan secara langsung seperti - Nigina dan Diari Habil dan Qabil.

Keupayaan penganjur LOL Asia mementaskan acara melalui perincian yang diperkemas dengan pelbagai susunan penataan cahaya menarik berjaya menyerlahkan persembahan visual sesuai sebagai pengubat kemarau konsert ketika negara melalui fasa peralihan ke endemik.