Skip to main
Logo Malaysiakini

Jurutera rakaman filem dari Malaysia menang Oscar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tidak ramai yang boleh mencapai kejayaan pada usia 30-an seperti yang diraih Yew Ping Soo, 31.

Yew anak kelahiran Ampang yang lebih suka dikenali sebagai Soya, membina kerjayanya sebagai penerbit audio, pembantu pengadun skor, jurutera bunyi dan jurutera rakaman dalam banyak filem Hollywood.

Soya meraih kejayaan sebagai jurutera rakaman untuk filem Dune yang memenangi anugerah Oscar baru-baru ini.

Selain itu, dia juga terlibat dalam konsert, Hans Zimmer Live Europe Tour 2022, yang mengetengahkan 130 pemuzik berbakat.

Soya berkata Hans merupakan sumber inspirasi dan menganggap komposer muzik berbangsa Jerman yang terkenal itu sebagai idolanya.

“Saya suka bekerja dengannya dan belajar daripada Hans sebab dia bukan saja mencabar dirinya sendiri malah turut mencabar kami untuk mencapai visi yang diimpikannya. Hans percaya terdapat banyak cara untuk mencapai sesuatu asalkan kita gigih berusaha,” katanya. 

Apabila ditanya reaksinya sebaik mengetahui Hans memenangi Oscar bagi Skor Muzik Asal Terbaik untuk filem Dune di Anugerah Akademi Mac lepas, Soya berkata dia tidak menyangka usaha mereka akan memperoleh kejayaan besar. 

Soya berkongsi bagaimana dia menyiapkan skor untuk rakaman produksi awal filem itu sebelum pandemik Covid-19 melanda AS.

Pemuda itu menyifatkan peluang mengikuti penerbit muzik tersebut untuk jelajah konsertnya sebagai pengalaman yang menarik untuknya kerana sebagai seorang jurutera audio, biasanya dia bekerja dalam studio.

“Dalam studio, kita selalu dapat undo dan redo tapi untuk live sound tak boleh. Saya tahu memang perit dan jerih, tetapi pengalaman itu amat bermakna untuk saya,” katanya.

Soya yang kini bekerja dengan produksi studio Hans, juga terlibat dengan pelbagai siri popular dan filem yang ditayang di platform seperti Netflix, Disney Plus dan HBO semasa pandemik.

Ia merangkumi siri dan filem seperti, The Unforgivable, Army of Thieves, The Survivor, Diary of a Wimpy Kid, The Last Warrior: A Messenger of Darkness, The Gilded Age, Outside the Wire dan Love Wedding Repeat.

Soya mendedahkan kebanyakan projeknya disiapkan pada 2021, antara tempoh gelombang varian Delta dan Omicron Covid-19.

"Walaupun kami tidak mengalami kesukaran bekerja dari rumah, lebih senang untuk kami bekerja bersemuka terutama bagi tugasan merakam dan mengadun kerana komposer dapat menyampaikan idea dan maklum balas dengan segera kepada kami (jurutera) dan pemuzik.

“Walaupun mempunyai jadual yang ketat, memang teruja dapat kembali semula ke studio dan bekerja dengan semua orang,” katanya.

Soya juga berharap dapat membawa konsert Hans ke Malaysia pada masa depan kerana percaya terdapat ramai peminat muzik yang menyukai hasil kerja Hans.

Hasil kerja Soya juga boleh didapati dalam banyak filem Hollywood popular seperti The Lion King, Ferdinand,  X-Men: Dark Phoenix, Ralph Breaks the Internet, Aquaman dan Gears 5.

Dia juga melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia yang pertama terlibat dalam francais filem Star Wars menerusi filem Solo: A Star Wars Story.