Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Banyak perkara tak betul diperkatakan mengenai mentor saya’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

“Biar Betul Anak Datuk K berguru dengan Scammer?”

Menurut usahawan dan anak tiri penyanyi Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid, Ayat itulah yang banyak kali didengari sepanjang tiga tahun berguru dengan Mentor Usahawan dan Pakar Pemasaran, Azizan Osman.

Tegasnya, banyak perkara tidak benar diperkatakan mengenai Azizan, seorang guru dan mentor dalam dunia perniagaannya kini.

“Jadi saya rasa sebagai salah seorang usahawan yang dia bimbing dan transformasi, saya perlu untuk perjelaskan perkara ini.

“Azizan sebenarnya adalah seorang jurulatih bisnes yang dah bantu banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia untuk capai jualan dalam jutaan ringgit,” katanya di Instagram hari ini.

Baru-baru ini, Siti Nurhaliza memuji golongan usahawan bimbingan RichWorks yang sentiasa menyokong antara satu sama lain untuk berjaya.

Penyanyi Biarlah Rahsia itu turut berkongsi rasa bangga apabila anak dan menantunya iaitu Asyraf serta Tya Arifin antara usahawan bimbingan RichWorks yang berjaya dengan produk mereka.

Katanya, Azizan pernah datang ke rumah dan berkongsi pengalaman.

Lebih bermakna menurut Siti Nurhaliza, Asyraf dan Tya menjadi antara ‘kelompok titan’.

“Pastinya, ayahanda Datuk K sangat gembira dengan pencapaian mereka hasil bimbingan Azizan. Terbaru Aazief juga sudah sertai jadi harap dia juga berjaya dan bukan main-main,” katanya.

Tambah Asyraf, profil di bawah permentoran Titanium dengan sekitar 300 ahli bersama Spire dan EliteX adalah berjumlah RM3.7 bilion.

“Saya salah seorang Titan Premier bersama isteri, Tya yang membawa jenama Mutyara Beauty selama tiga tahun terakhir.

“Alhamdullillah bisnes berjaya berkembang dan kekal walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya.

Katanya, asbab bimbingan dari Azizan yang sentiasa menyediakan dirinya untuk berdepan sebarang situasi, dapat dilihat hari ini.

“Antara pencapaiannya untuk PKS adalah Sabella yang berjaya buat jualan lebih dari RM100 juta untuk 2 tahun berturut-turut dan Eskayvie yang hingga Mei lalu saja dah mencapai lebih dari RM100 juta.

“Bagi saya bisnes ini memang tak mudah, tapi Azizan ada untuk bantu capai apa yang saya nak capai,” katanya.