Noraniza Idris segan dianugerah pingat kebesaran
Noraniza Idris mengakui dirinya belum layak untuk menerima gelaran Datuk walaupun mendakwa ada pihak yang tampil menawarkan jalan untuknya mendapat anugerah tersebut.
Bagi Ratu Irama Malaysia itu, penganugerahan dan pengiktirafan darjah kebesaran tersebut hanya sesuai diberikan kepada individu yang banyak berjasa.
“Jika dah bertaraf jutawan atau bilionair dan selalu membantu orang ramai sesuailah gelaran tersebut diberikan kepada Kak Ani.
“Kak Ani rasa belum berjaya sampai ke tahap itu lagi. Seganlah jika orang panggil Datuk tapi diri sendiri tak mampu bantu orang lain,” jelasnya.
Secara berseloroh, Noraniza, 53, berkata setakat ini dia ingin kekal dengan ‘gelaran’ sedia ada saja.
“Memadailah gelaran datuk yang ada cucu saja,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Skim Rumahku Syurgaku dan pelantikan Duta Pelancongan Seni dan Budaya anjuran MRF Consultant Sdn Bhd di ibu kota semalam.
Penyanyi lagu Kisah Satu Malam itu dilantik sebagai duta untuk program tersebut.
Sementara itu, mengulas persediaan konsert terakhirnya, Malai Solo yang dijadual berlangsung Oktober depan, Noraniza berkata dia perlu menitikberatkan banyak perkara kerana ia menelan kos produksi sangat tinggi iaitu RM2.5 juta.
Menurutnya, pelbagai persediaan sudah dibuat cuma masih belum dimuktamadkan.
“Mesyuarat dah dibuat. Kru produksi juga sudah ada. Senarai lagu pun sama. Cuma akan dipilih semula oleh pengarah muzik.
“Untuk jualan tiket, produksi akan umumkan dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh konsert. Konsert itu juga ibarat arkib untuk pelajar sekolah,” katanya lagi.
Untuk persediaan dari segi stamina pula, Noraniza memaklumkan dia ditawarkan RM10,000 oleh anak-anaknya untuk menurunkan berat badan sebelum beraksi pada konsert itu nanti.
“Anak-anak beri tempoh turunkan berat badan hingga September depan. Mereka turut tawarkan RM10,000 jika saya dapat kurangkan berat sebanyak 20 kilogram,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai