Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembantu Fify dakwa tak sedar RM15,000 dimasuk ke akaun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pembantu peribadi (PA), Fify Azmi mendakwa tidak menyedari wang milik pelakon itu yang berjumlah RM15,000 sudah dimasukkan ke dalam akaun miliknya.

Katanya yang dikenali sebagai Nora, berlaku salah faham mengenai pembayaran tersebut namun dakwanya ia sudah pun dijelaskan kepada Fify.

“Saya tak pernah lari dan ada balas mesejnya tapi lambat sebab ada urusan kerja lain.

“Berkenaan dengan bayaran itu, sebenarnya ada salah faham dan saya pun sudah jelaskan kepada Fify.

“Saya mengaku memang kecuaian daripada pihak saya. Saya tak perasan pihak produksi sudah memasukkan bayaran Fify ke dalam akaun saya kerana biasanya semua bayaran dimasukkan ke dalam akaun Fify,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurutnya, bayaran itu dimasukkan ke dalam akaunnya kerana pelakon berkenaan tidak tahu cara mengeluarkan invois.

“Cuma kali ini saja masuk akaun saya sebab membabitkan invois. Fify tak tahu nak buat invois, jadi saya buatkan guna nama syarikat saya sebab itu produksi masukkan bayaran dalam akaun saya.

“Pihak produksi tak maklumkan saya mengenai bayaran yang sudah dimasukkan dalam akaun saya.

“Saya pula tak periksa akaun dan memang silap saya,” katanya.

Semalam Malaysiakini menyiarkan pemilik nama sebenar Nur Afiqah Mohamed Azmi itu membuat laporan polis mendakwa wang hasil titik peluhnya diseleweng oleh pembantu peribadinya.

Nora juga mengakui dia terkejut Fify tularkan perkara tersebut walaupun mereka sudah berbincang untuk urusan pembayaran semula.

“Saya mengaku mungkin saya ada terpakai duit daripada bayaran itu sebab tak perasan. Namun, saya sudah beritahu dan jelaskan kepada Fify yang saya akan bayar secara ansuran.

“Atas persetujuan, saya hanya kena bayar RM12,000 kepada Fify. Saya ingatkan semuanya sudah dijelaskan sebab kali terakhir kami berhubung tiga hari lalu dan masing-masing terus senyap,” katanya.

Pada masa sama jelasnya, tidak mungkin dia akan melarikan diri seperti didakwa Fify kerana sama-sama mencari rezeki dalam industri yang sama.

Nora juga memaklumkan dia sudah membuat laporan polis terhadap Fify namun enggan berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu.