Skip to main
Logo Malaysiakini

Rutin tazkirah Johan buka hati pembantu rumah peluk Islam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelawak dan penyampai radio, Johan tidak menyangka amalan menyampaikan tazkirah selepas solat membuka pintu hati pembantu rumahnya yang beragama Kristian untuk memeluk Islam.

Kata Johan, rutin harian dilakukan bagi mengisi waktu terluang antara solat Maghrib dan Isyak itu menjadi asbab pembantu warga Indonesia berkenaan akhirnya melafazkan dua kalimah syahadah.

“Saya mempunyai seorang pembantu rumah dari seberang yang asalnya beragama Kristian.

“Dia bekerja dengan saya selama tiga tahun. Ketika kami sekeluarga solat berjemaah, saya pastikan masa yang terluang antara waktu Maghrib dan Isyak diisi dengan penyampaian tazkirah.

“Setiap kali sesi perkongsian ilmu berlangsung, dia akan duduk di sudut surau dalam rumah kami dan mendengar topik dibincangkan. Dia hanya mendengar tanpa bertanyakan apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, menurut pemilik nama sebenar Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz itu, dia tidak mengetahui perkara itu hinggalah selepas pembantu rumah berkenaan pulang ke negara asalnya.

“Hanya selepas dia balik ke Indonesia sewaktu perintah kawalan pergerakan barulah saya dapat tahu pembantu rumah ni dah peluk agama Islam,” jelasnya.

Johan berkata demikian pada majlis sidang akhbar program realiti nyanyian program Ceria Popstar Xtra di ibu kota baru-baru ini.

Program mencungkil bakat nyanyian kanak-kanak itu mengekalkan Johan sebagai juri tetap.

Tambah Johan, hal yang membuatkan dia lebih terharu adalah selepas mendapati usaha dilakukan wanita berkenaan untuk mendalami agama Islam.

“Saya terjumpa buku nota miliknya yang tertera surah al-Fatihah, namun ditulis dalam tulisan rumi.

“Sekali gus menggambarkan betapa bersungguhnya dia mempelajari dan mendalami agama Islam,” kongsinya.

Selepas bergelar mualaf, suami kepada pelakon Ozlynn Wati itu memaklumkan pembantu rumahnya terus mendapat bimbingan daripadanya.

Namun katanya, kali ini wanita itu banyak mengajukan soalan mengenai Islam.

“Pembantu rumah kembali bekerja dengan saya. Sebelum ni dia hanya dengar saja saya sampaikan tazkirah.

“Kini dia rajin bertanyakan soalan apabila ada perkara yang tak difahami,” katanya.