Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem protes di HK dilarang, khuatir hubungan Malaysia-China terjejas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) telah tidak meluluskan tayangan sebuah filem Hong Kong atas dakwaan ia menggambarkan kekerasan melampau, di samping mengagung-agungkan perjuangan penunjuk perasaan serta berpotensi menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-China.

Filem, 'May You Stay Forever Young' memaparkan usaha seorang gadis remaja, 17 tahun untuk membunuh diri semasa protes anti-ekstradisi besar-besaran di Hong Kong dan usaha rakan-rakannya untuk menyelamatkannya.

Filem ini berpaksikan tema protes anti-Beijing di Hong Kong pada 2019, yang menyaksikan beberapa belia membunuh diri mereka sendiri.

Ia telah dicalonkan untuk hadiah Pengarah Baru Terbaik dan Penyuntingan Terbaik dalam Anugerah Kuda Emas Taiwan 2021 dan juga telah memenangi Anugerah Netpac (Rangkaian untuk Promosi Pawagam Asia).

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, LPF memaklumkan syarikat pengedaran berkenaan bahawa filem itu tidak diluluskan untuk tayangan atas enam alasan.

“Filem ini bertemakan isu politik di Hong Kong berikutan demonstrasi besar-besaran yang menentang terhadap pindaan rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong. Ia digambarkan melalui sekumpulan remaja yang menyertai demonstrasi tersebut sehingga sanggup untuk membunuh diri.

“Filem ini diharamkan tayangannya di China dan belum ditayangkan di Hong Kong. Difahamkan filem ini tidak dihantar ke lembaga penapis filem Hong Kong dan oleh itu ia tidak dibenarkan tayang setakat ini,” petik surat itu.

Dalam surat yang sama, yang bertarikh 31 Mei, LPF berkata filem itu bertujuan “menarik perhatian dan simpati daripada seluruh dunia tentang kesusahan (predicament) yang dialami oleh warga Hong Kong dengan harapan pemimpin-pemimpin dunia akan memberi tekanan kepada kerajaan Hong Kong supaya mengubah pendiriannya.”

“Filem ini menggambarkan kekerasan melampau dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis ke atas penunjuk-penunjuk perasaan dalam menangai isu perhimpunan haram dan rusuhan.

“Filem ini juga membawa mesej yang boleh menormalisasikan tindakan tunjuk perasaan melampau dalam mengutarakan bantahan terhadap apa-apa polisi sesuatu negara yang boleh memberi ajaran kurang sihat kepada para penonton di Malaysia,” katanya.

Pihak berkuasa penapisan yang terletak bawah Kementerian Dalam Negeri juga berkata bahawa Kementerian Luar telah dirujuk berhubung perkara itu.

“Kementerian Luar Negeri berpendapat bahawa tayangan filem ini di Malaysia akan menjejaskan hubungan dua hala yang sedia elok antara Malaysia dan China.

“Kerajaan tidak ingin menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempromosikan segala pendirian anti kerajaan atau negara ketiga di Malaysia yang dikhuatiri akan memberi implikasi ke atas hubungan dua hala antara Malaysia dan negara lain.

“Oleh itu, adalah wajar filem berjudul ‘May You Stay Forever Young’ diperakukan dengan keputusan untuk tidak lulus untuk tayangan,” kata LPF.

Malaysiakini telah menghubungi LPF untuk mendapatkan ulasan mereka.

[Baca berita penuh]