Skip to main
Logo Malaysiakini

Senator dilantik pengerusi Finas gantikan ketua penerangan PBM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan melantik seorang ahli Dewan Negara sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang tamat perkhidmatannya pada 22 Mei lalu.

Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Annuar pelantikan Zurainah Musa itu dibuat selaras dengan Seksyen 4(1) Akta Akta Finas 1981 (Pindaan 2013).

"Pelantikan ini berkuat kuasa pada 10 Jun 2022 bagi tempoh dua tahun iaitu sehingga 9 Jun 2024," katanya.

Zakaria merupakan bekas pemimpin PKR yang kemudian menyertai Bersatu beberapa bulan selepas sekumpulan ahli parlimen berpaling tadah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Dia dilantik ke jawatan pengerusi Finas pada Mei 2020 dan ketika itu Kementerian Komunikasi dan Multimedia diketuai Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah.

Untuk rekod Zakaria yang juga bekas ketua cabang PKR Bera kini merupakan ketua penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pada 8 Jan lalu seorang pemimpin kanan Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman mencadangkan agar semua ahli politik yang menyertai PBM dan masih menduduki jawatan lantikan politik perlu dipecat.

Zakaria Abdul Hamid

Selain Zakaria, Presiden PBM, Larry Sng, kini berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia, iaitu sebuah agensi yang terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Annuar berkata Zurainah mempunyai pengalaman luas dan mampu membawa Finas bergerak lebih maju ke dalam industri perfileman.

Zurainah juga merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), ahli Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), pengarah eksekutif Berjaya Corporation Berhad serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

"Saya yakin pelantikan Zurainah yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang boleh membawa nafas dan iltizam baru bagi membantu perkembangan industri perfileman dan kreatif di negara ini.

"Saya juga percaya pemegang taruh industri perfileman dan kreatif juga akan terus memberikan sokongan kepada pelbagai inisiatif yang bakal diketengahkan oleh kerajaan melalui Finas untuk memberi manfaat dan kesejahteraan kepada Keluarga Malaysia, bukan saja di peringkat tempatan malahan di peringkat antarabangsa," kata Annuar lagi.