Skip to main
Logo Malaysiakini

Nasi lemak, cekodok udang dan karya spontan Marisa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dalam kalangan teman pelukis, Marisa R Ng memang terkenal handal dalam kerja-kerja memasak. Nasi lemaknya diakui antara hasil tangan terbaik beliau.  Namun ia tidak mungkin dapat menandingi cekodok udang Marisa.

Dengan udang yang kasar dan daun bawang yang melimpah, cekodok udang Marisa sentiasa jadi permintaan teman-teman setiap kali beliau mengajak ke rumah.

Kerana itu Marisa mengambil keputusan untuk menggabungkan dua minat tersebut - yakni melukis dan memasak - untuk pameran solo terbarunya yang diberi nama Table Talk: Food, Our Universal Language.

Ia akan diadakan di Bali, Indonesia mulai 24 Jun ini. Art Xchange dan Kopi Bali House bertindak sebagai pihak penganjur.

Selain mempamerkan karya lukisan, Marisa juga akan menjadi hos kepada suatu majlis makan malam. Ia akan diadakan selama lima malam berturut-turut dengan 12 'pelanggan' terpilih untuk menikmati juadah yang disediakan.

Marisa memilih untuk menyediakan masakan yang berteraskan masyarakat Melayu, Cina dan masyarakat Indonesia sendiri. Untuk itu beliau antara lain akan memilih rendang tok sebagai menu utama.

Semua masakan itu akan disediakan oleh jurumasak terkenal Gabriel Pandanbuana, manakala Marisa sendiri bertindak sebagai penasihat. Minuman minum pula akan disediakan oleh barista terkemuka di Bali iaitu Juan Kenneth Wijaya.

Di Malaysia, Marisa adalah antara pelukis yang konsisten dalam berkarya.

Bermula dengan lukisan figura sejurus menamatkan pembelajaran di Akademi Seni Dan Warisan Negara (Aswara), beliau kini menjadikan lukisan abstrak sebagai pengantara dalam berkarya.

Menurut Marisa, karya-karya abstrak lebih spontan lagi automatik. Beliau juga gemar akan karya yang terhasil daripada gerak bawah sedar itu. Menurutnya karya yang dihasilkan turut kelihatan lebih telus.

Karya-karya Marisa semakin menampakkan kematangan. Siri terbaru yang akan beliau persembahkan di pameran solo kelimanya nanti menjadi bukti kemajuan dalam menghasilkan kerja seni.

Kegigihan Marisa dalam membina nama juga seharusnya menjadi teladan kepada semua seniman.

Jinakkan hati peminat negara jiran

Sejak 15 tahun lalu, Marisa tidak pernah penat melibatkan diri dalam pelbagai pameran sama ada di dalam atau di luar negara. Malah beliau adalah antara pelukis yang bertuah kerana mendapat tempat di hati peminat seni catan di Indonesia.

Seperti yang diketahui umum, adalah tidak mudah untuk artis dari negara kita untuk menerobos ke pasaran negara jiran itu.

Apatah lagi untuk mengadakan pameran tunggal di sana.

Peminat seni catan di Indonesia lebih memberi perhatian kepada karyawan mereka sendiri dan sebenarnya ia adalah baik untuk mereka.

Sementara tempat kita pula mengamalkan dasar terbuka justeru bukan sedikit karya pelukis dari Indonesia - dan beberapa negara serantau lain - yang menjadi rebutan peminat seni Malaysia.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa terdapat sebahagian daripada galeri di negara ini sangat memberi perhatian kepada karya seni dari negara tersebut.

Mungkin sedikit kerja yang lebih keras perlu dilakukan oleh seniman tempatan serta promoter seni dari tempat kita agar karya-karya yang dihasilkan dapat menjinakkan hati peminat seni negara jiran.

Kita mempunyai ramai pelukis yang hebat. Sangat merugikan jika hanya kita sahaja yang dapat menikmati hasil kerja mereka.

Selain daripada pameran solo di Bali, Marisa juga bakal terlibat dengan pameran berkumpulan di acara Art Moment di Jakarta pada 31 Ogos 2022 bawah pengelolaan ISA Art Gallery.

Diharapkan Marisa akan menjadi pembuka jalan kepada artis negara kita untuk lebih diterima di Indonesia sebagaimana kita menerima ramai seniman dari sana dengan tangan terbuka.