Skip to main
Logo Malaysiakini

Kid syukur kehadiran peminat, anggap hujan rahmat buat Search

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

“Hujan lebat tu kita anggap adalah rezeki,” demikian kata pemain gitar Search, Hamzah Mohd Taib atau Kid selepas Konsert Search Rockin’ On Rooftop melabuhkan tirai malam tadi.

Ternyata, hujan yang ‘menggila’ sebelum konsert bermula sedikit pun tidak melumpuhkan semangat kumpulan Search untuk beraksi di hadapan 3,000 penonton di bumbung Kompleks Campbell, Kuala Lumpur itu.

Selain peminat tegar dari seluruh Malaysia, turut hadir adalah mereka yang datang sejauh dari Singapura dan Indonesia.

Menyedari kumpulan Search dengan vokalis Amy yang beraksi seminggu lebih awal mempunyai kelebihan membuat persembahan selama dua hari, Kid, 54, berkata, dia amat berpuas hati apabila melihat kehadiran penonton yang membanjiri ruang bumbung tersebut.

“Mereka (Konsert Search Endemik) ada mileage sebab beraksi untuk dua hari. Apa pun, kami tetap bersyukur melihatkan kehadiran peminat di sini. Mereka sanggup tunggu walaupun hujan.

“Sebenarnya, hujan lebat tu berikan kami masa untuk lebih bertenang sebelum buat persembahan,” tambahnya yang ditemui pada sidang media diadakan selepas konsert tersebut.

Konsert itu bermula setengah jam lewat bagi menunggu hujan reda. Ia pada awalnya dijadual bermula jam 9 malam.

Selepas hujan lebat reda, tepat jam 9.30 malam, Search yang turut dibarisi Din (pemain gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) buka panggung dengan lagu Bencana, Metropolitan dan Pasti.

Lontaran vokal bernada tinggi yang padu daripada vokalis Denden Gonzales membuka tirai persembahan dan terus menghangatkan suasana bagaikan hujan tidak pernah melewati Kompleks Campbell sebelum itu.

Search Rockin’ On Rooftop - sesuai dengan tema diberi - menyaksikan peminat tegar melepaskan gian sambil 'headbanging' untuk repertoire seterusnya seperti Purnama, Melastik Ke Bintang dan Di Pintu Sepi.

Petikan gitar Kid dan Noordin atau Din yang cukup mantap memukau peminat setia Search sekali gus menghidupkan keseluruhan 17 lagu-lagu yang dimainkan.

Kehadiran komposer dan penyanyi yang banyak menyumbangkan hasil karyanya untuk Search, iaitu M Nasir turut menyuntik semangat kumpulan itu untuk beraksi di luar jangkaan.

Malah kelibat penyanyi lagu Biso Bonar, Hattan juga mencuri tumpuan apabila dia dilihat begitu asyik melayan petikan gitar dua adik beradik berkenaan.

Pukulan dram daripada Minn dan sentuhan bass Yam pula menjadi pelengkap kepada persembahan yang berlangsung selama dua jam 15 minit.

Kehadiran Ratu Rock, Ella sebagai tetamu undangan mempersembahkan dua lagu iaitu Melayar Bahtera dan Bayangan iaitu duet bersama Denden.

Cuma kekurangan mungkin dapat dilihat pada kelemahan Denden yang kelihatan kurang berkomunikasi, selain kekok di hadapan peminat.

Bagaimanapun, kelemahan itu dapat ditutup Denden dengan menonjolkan stamina luar biasa dan menguasai setiap penjuru pentas bagi mempamerkan aksi persembahan terbaik.

“Pada awal persembahan saya mungkin sedikit gementar untuk menyanyi di hadapan peminat Search yang setia, tapi beberapa lama itu, semuanya menjadi OK,” kata Denden.

Menurut Kid, kehadiran vokalis baru berasal dari Indonesia itu pada konsert Search Rockin' On Rooftop menepati jangkaan kumpulan itu.

“Kami berpeluang bersama dalam waktu yang agak singkat, tapi kami cuba gandakan usaha dan latihan.

“Walaupun begitu tapi kami dapat keputusan yang baik malam ini (semalam). Denden memberikan sepenuh energi yang dimiliki demi meneruskan legasi Search,” katanya.

Untuk rekod, Search yang ditubuhkan lebih empat dekad sejak 1981 kini berpecah dua gara-gara konflik dalaman kumpulan itu.

Konsert Search Endemik yang dibarisi Nasir Daud (bass), Man Kidal dan Hillary Ang (gitaris) serta pemain muzik undangan iaitu adik-beradik Arthur dan Genervie Kam (pemain keyboard) menggegarkan Zep Hall, Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun lalu.