Skip to main
Logo Malaysiakini

Aishah Azman harap peluang aktres bertudung tak terhad

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aishah Azman berharap pihak penerbit dan pengarah tidak sesekali membataskan kriteria watak utama atau lebih mencabar untuk seseorang pelakon yang bertudung.

Aktres itu berkata bertudung bukanlah alasan seseorang yang melakukan penghijrahan sudah “tidak lagi boleh berlakon.”

“Saya tak bersetuju dengan pandangan sekiranya pakai tudung hanya boleh bawa watak baik. Atau umumnya, watak jahat kena pakai skirt pendek. Itu hanya mentaliti segelintir masyarakat kita.

“Saya fikir, segelintir pihak (dalam) stesen televisyen mungkin juga bimbang untuk melawan mentaliti sebegini. Mungkin juga tak semua pengarah pemberani dan khuatir sekiranya naskhah dihasilkan dikecam.

“Industri perlu berbuat sesuatu, bertudung bukanlah alasan tak boleh berlakon. Ramai artis kita bertudung tapi masih relevan dalam industri seperti Erra Fazira dan Mira Filzah,” jelasnya.

Kata pemilik nama penuh Nor Aishah Afika Azman Shah itu, meskipun mengakui masih menerima tawaran berlakon sejak mula berhijab tahun lalu, masih terdapat had terhadap watak yang diberi kepadanya.

Disebabkan imej berkenaan, Aishah, 26, memberitahu dia tidak lagi berpeluang menggalas peranan utama seperti dulu mahupun yang lebih menguji bakatnya sebagai anak seni.

“Ada ramai yang bertanya mengapa dah lama tak nampak saya berlakon. Saya masih ada dalam industri cuma banyak tawaran daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan selalunya drama yang disiar agak lambat.

“Bukanlah saya memilih naskhah, cuma apabila bertudung, dah tak banyak watak yang sesuai untuk dibawa lagi. Tawaran watak yang singgah sekarang misalnya cuma sebagai guru, watak kedua, atau rakan baik kepada heroin.

“Nak, nak lagi jika ada pihak menawarkan watak antagonis kerana ada yang menyangka saya masih belum bertudung. Jadi, memanglah saya terpaksa menolak,” katanya.

Tolak pakai rambut palsu

Aishah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran supertele Bangkitkan Aku Kembali adaptasi sebuah novel tulisan Sophilea yang diadakan di ibu kota, kelmarin.

Turut hadir ialah barisan pelakon lain seperti Jay Iswazir, Dayang Areeda, Amy Nur Tinie, Syaffiq Sahli, Juita Johari, Danial Dasuki , Adik Rayqa, Wak Zaidi, Mustaqim Bahadon, Adam Corrie dan Azzahra Ahmad.

Walaupun bukan mudah untuk seseorang baru berhijrah beristiqamah, pelakon itu mengakui dia pernah berdepan ujian apabila diminta untuk menanggalkan tudungnya.

Aishah, berkata, pernah ada pihak tampil menawarkan peranan besar tetapi dia diberi pilihan sama ada membuka tudung atau mengenakan rambut palsu.

Bagaimanapun, tuturnya, kerana enggan melanggar hukum, dia dengan berlapang dada menolak tawaran tersebut.

“Saya bukanlah jenis pakai tudung labuh atau berhijab mengikut ciri Muslimah terlalu drastik, tapi sekiranya komitmen kerja menuntut pakai rambut palsu, saya kena tolak.

“Apabila merujuk ustaz mengenai hukum rambut palsu adalah dilarang untuk wanita Islam dengan sengaja kerana ia menyerupai rambut asli. Saya terus menolak, haram tetap haram,” kongsinya.