Skip to main
Logo Malaysiakini

Ber-Higera bersama Fadli dan Husin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mohd Fadli Yusoff berhenti melukis figura manusia apabila rakan sekuliahnya, Hushinaidi Abdul Hamid, memberitahu bahawa ada fatwa Majlis Agama Islam Afrika Selatan dikeluarkan pada 1996 dan menganggap tindakan tersebut sebagai haram.

Semasa masih berkuliah di UiTM, Mohd Fadli adalah antara pelajar terbaik dalam subjek figura. Dia dikatakan jelmaan kepada pelukis figura terbaik di negara ini iaitu Amron Omar.

Malah semasa mengikuti kelas oleh pelukis itu, Mohd Fadli sering diberikan markah yang tinggi - sesuatu yang jarang dilakukan oleh Amron yang terkenal tegas dalam hal lukisan.

Selama 11 tahun Mohd Fadli menumpukan perhatian kepada lukisan alam dan abstrak. Pada 2007 - setelah menekuni bidang agama dengan lebih mendalam - Mohd Fadli kembali kepada lukisan figura.

Dia yang berusaha bersungguh-sungguh dalam menjadi manusia yang bertuhan juga menjadikan seni lukis sebagai sebahagian daripada jalan untuk berdakwah.

Hal itu jelas dapat dilihat dalam semua karya Mohd Fadli yang sangat menjurus kepada nasihat serta teguran - bukan saja untuk orang lain malah dirinya sendiri - supaya kembali kepada kebaikan.

Mohd Fadli Yusoff

Saya Anak Malaysia Juga adalah antara karya terbaik Mohd Fadli. Sebagai anak jati Kelantan, dia berasakan berlakunya semacam ketidakadilan apabila negeri tersebut dipinggirkan kerajaan pusat pada waktu itu.

Karya tersebut dihasilkan sebelum partai PAS bergabung dengan kerajaan hari ini.

Baso Kambeng pula adalah antara karya terbaru Mohd Fadli yang sedang dipamerkan di pameran Higera di Core Design Gallery.

Dua pelukis sebagai rujukan

Dalam karya itu dia memberi contoh bagaimana seekor kambing yang giat menyuruh orang lain supaya rajin mandi sedang ia sendiri tidak pernah - malah amat alergik - menggunakan air.

Dia mengumpamakan lukisan itu dengan mereka yang gemar menyuruh orang lain berbuat baik sedang diri sendiri tidak pernah mahu berubah.

Hampir semua karya Mohd Fadli adalah berskala besar dan ia tentu saja menambah gah kepada hasil tangannya yang sudah memang mengetarkan jiwa siapa yang melihat.

Pameran Hegira mengabungkan Mohd Fadli dengan seorang lagi pelukis ternama, Husin Hourmain.

Husin Hourmain

Husin memulakan karier dalam bidang pengiklanan dan setelah 17 tahun bergelumang dalam dunia tersebut dia terjun dengan sepenuh hati ke lautan seni catan kontemporari.

Bersama Yusof Ghani, Suhaimi Fadzir dan juga Shafiee Ramli dalam quartet yang digelar sebagai Insight - dengan hampir semua ahlinya mempunyai latar belakang dalam bidang pengiklanan - Husin mula mencipta nama sebagai pelukis disegani.

Kesemua ahli kolektif Insight kini merupa pemain papan atas dalam dunia seni catan tempatan.

Karya-karya awal Husin didapati sangat tebal dengan sikap Jackson Pollock dan ia tidaklah menghairankan kerana dia sendiri mengakui bahawa pelukis tersebut merupakan sumber ilham yang paling awal didekatinya.

Selain dari itu Husin juga menjadikan rakan dan mentornya, Yusof Ghani, dan pelukis dari Indonesia, Widono Sudono, sebagai rujukan.

Husin menemui dirinya pada 2006 lewat karya pencarian yang diberi judul Allah.

Dari karya itulah Husin kemudian menemui apa yang dia mahukan. Sesudah 16 tahun, karya-karya khat kini menjadi identiti pelukis berkenaan.

Kemuncaknya ialah sebuah pameran solo yang diberi nama Awal Hurouf Asal Hurouf dan ia menempatkan Husin dalam kalangan pelukis tingkat atas di negara kita.

Dia menggunakan tulisan khat sebagai alat menyampaikan maksud karya-karyanya namun mungkin kerana pemikiran yang sempit pihak tertentu, seringkali karya Husin disalah erti sebagai sebuah karya Islami.

Husin berjaya mengangkat tulisan khat ke suatu tahap yang lebih tinggi. Hari ini dia diakui sebagai pemula dalam menjadikan seni tersebut sebagai suatu karya kontemporari.

Karya-karya Husin sekarang menjadi rebutan bukan sahaja dalam kalangan orang Islam malah mereka yang datang dari luar Islam.

Pameran Higera yang diadakan di Core Design Gallery, Kuala Lumpur bermula pada 24 Mei lalu dan akan berakhir pada 24 Jun ini.