Skip to main
Logo Malaysiakini

Mia Sara Shauki harap tak dikaitkan dengan langkah politik bapa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun timbul kebimbangan mengenai karier yang kini diceburi, pelakon Mia Sara Shauki menaruh harapan agar tiada pihak mencampur-adukkan dia dengan bapa yang bergiat aktif dalam politik.

Kata anak penerbit, pelakon dan pelawak Afdlin Shauki Aksan itu, lakonan dan politik adalah dua bidang berbeza, malah dia tidak berhasrat untuk mengikuti jejak langkah bapanya.

“Mia memang risau, tapi harap tak ada sesiapa mencampur-adukkan dua perkara yang tak sepatutnya. Mia juga tak mahu mencampuri urusan politik bapa.

“Saya tak ada ilmu dalam politik seperti dia, cuma membaca dan ambil tahu perkembangan semasa sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Namun, Mia berkata, dia sudah bersedia menghadapi sebarang kecaman - sekiranya ada - sebaik bapanya itu mula terjun ke gelanggang politik.

Mia berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan drama terbaru lakonannya, Histeria The Series, di ibu kota baru-baru ini.

Untuk rekod, Mia memulakan kariernya sebagai pelakon sejak 2004 melalui filem arahan bapanya, Buli. Pada 2009, aktres itu melakonkan watak sebagai Miasara kecil dalam filem Papadom yang juga arahan bapanya.

Pernah bagi amaran

Baru-baru ini, Afdlin tewas dalam pemilihan jawatan Ketua PKR Cabang Setiawangsa. Dia kemudian membuat laporan polis antara lain mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) gagal mengurus perjalanan pengundian dengan baik.

Mia, 22, turut mengakui, Afdlin sudah memberi peringatan mengenai perjalanan kerjaya sebagai seorang penggiat seni yang mempunyai risiko tersendiri.

Hal itu kerana, kata Mia, Afdlin agak keberatan untuk dia menceburi dunia seni.

"Dia beri amaran dan beri pilihan sama ada untuk belajar bidang perniagaan atau pun undang-undang, sebab dia sendiri dah lalui jatuh bangun sebagai anak seni.

"Dia juga berpesan untuk bersedia terima kecaman kerana ada pihak sentiasa menghakimi setiap gerak langkah kita termasuk penampilan.

“Tapi apabila dia tengok minat Mia nak jadi pelakon begitu mendalam, dia akhirnya berlapang dada,” katanya.

Mengulas mengenai Histeria The Series arahan pemenang Best Asean Feature Award di Filem Antarabangsa Bangkok, James Lee, Mia berkata, Afdlin menyokong dia menimba pengalaman daripada sutradara itu.

Katanya, Afdlin turut memberi izin meskipun ada babak yang memerlukannya melakonkan aksi menghisap rokok.

“Kata bapa, sekiranya Lembaga Penapis Filem (LPF) benarkan babak tu untuk siaran, bermaksud ia adalah realiti yang boleh membawa impak untuk mesej diketengahkan.

“Bagi saya, sukar untuk ibu bapa pantau anak bersekolah asrama penuh. Tapi dalam kehidupan sebenar, saya tak merokok pun dan bapa tahu, malah dia adalah penyokong dan pengkritik terbesar saya,” katanya.