Skip to main
Logo Malaysiakini

Iko Uwais nafi kasari pereka dalaman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon lagak ngeri terkenal Indonesia, Iko Uwais menafikan dakwaan dia memukul seorang kontraktor pereka dalaman rumah dikenali sebagai Rudi yang diupah dengan bayaran Rp150 juta (RM44,800).

Iko Uwais sebaliknya menyifatkan tindakan yang diambil bagi meredakan insiden sebagai mempertahankan diri.

“Saya berasa prihatin terhadap kejadian yang tidak kita semua inginkan. Bahawa sesungguhnya saya adalah mangsa daripada kenyataan tidak benar dikeluarkan Rudi.

“Saya membuat pembayaran dan berusaha untuk berbincang secara baik, tapi Rudi selalu mengelak. Namun, apabila akhirnya berpeluang bertemu, Rudi memberi respons kurang baik hingga memicu ketegangan.

“Ia berlanjutan kepada serangan fizikal, hingga cubaan abang saya (Muhammad Iko Firmansyah) untuk meleraikan situasi juga disambut dengan kekerasan oleh Rudi.

“Jadi, respons saya terhadap tindakan yang dilakukan terhadap Rudi adalah mempertahankan diri dan perlindungan kepada anggota keluarga saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Insiden itu didakwa berlaku selepas perang mulut antara Iko Uwais dan Rudi pada 11 Jun lalu.

Susulan itu, Iko Uwais membuat laporan polis terhadap Rudi atas dakwaan menganiaya dan mencemarkan nama baiknya. Dia turut melakukan pemeriksaan perubatan untuk disertakan dalam laporan.

Rudi sebelum itu membuat laporan dengan mendakwa mengalami kecederaan pada wajah dan tangan kanan serta luka di punggung.

Peguam Iko Uwais, Leonardus Sagala pula mendakwa Rudi memutarbelitkan fakta dalam laporan yang dibuatnya di pejabat polis di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia.

Menurutnya, provokasi sebenarnya dimulakan pihak Rudi dan isterinya.

“Kekecohan bermula selepas anak guam kami mendapati Rudi tidak menyiapkan kerja-kerjanya seperti dalam perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua mereka.

“Rudi menawarkan perkhidmatan hiasan dalaman dengan kesepakatan kos bayaran sebanyak Rp300 juta (RM90,000). Anak guam kami sudah bayar separuh 50 peratus iaitu RM44,800.

“Tapi ternyata, selepas anak guam kami membuat pembayaran tersebut, dia masih tidak menyiapkan pekerjaannya,” katanya.

Iko Uwais terkenal sebagai pelakon untuk filem Hollywood seperti Mile 22 , Star Wars: The Force Awakens dan The Raid.