MCMC siasat hantaran pengasas produk kecantikan, selebriti
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama polis sudah menjalankan siasatan terhadap tiga individu yang memuat naik kandungan berunsur sumbang dan jelik di laman aplikasi Instagram dan Tik Tok baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataan semalam memaklumkan pemeriksaan bagi tujuan siasatan dilakukan terhadap pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal tersebut di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang semalam.
Katanya ia dibuat selepas agensi terbabit menerima aduan orang ramai berhubung perkara itu.
"Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
"MCMC memandang serius tindakan beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal yang telah memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sebagai sumbang dan jelik di aplikasi Instagram dan Tik Tok masing-masing," menurut kenyataan itu.
MCMC juga menasihatkan orang ramai khususnya para selebriti yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat supaya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang.
Baru-baru ini video yang dimuat naik oleh beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal itu telah menerima kritikan dan kemarahan warganet.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai