Skip to main
Logo Malaysiakini

Ellie Suriati harap 'doktor muzik' jadi kekasih Azri jangan menyorok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ellie Suriati mengakui tidak kisah andai bekas suaminya, Azri Iskandar ingin berkahwin lain meskipun tempoh iddahnya belum berakhir.

Namun, sebelum menoktahkan perkahwinan, Ellie menyeru agar kekasih Azri, Azra Diera memunculkan diri kerana dia meragui kewujudan wanita terbabit.

Menurut pengarah, penulis dan pelakon itu, dia bimbang sekiranya Azri ditipu wanita yang didakwa bergelar doktor muzik itu.

“Saya kenal Azri, he’s more than that. Saya tak halang dia mencintai atau kahwin dengan orang lain sebab kita tak tahu berapa lama lagi hidup, mungkin esok lusa dah tiada.

“Tapi saya, anak-anak dan rakan-rakan tak menemui sebarang maklumat mengenai wanita berkenaan walaupun selepas membuat carian mengenainya di Internet.

“Dr Azra kena tampil dan jelaskan situasi, jangan menyorok,” katanya, yang turut mempersoalkan hubungan Azra dengan anak-anaknya sekiranya benar wanita itu mahu berkahwin dengan Azri.

“Dia tak pernah berhubung dengan anak-anak saya pun. Macam mana nak kahwin dengan bapa mereka macam tu?” soalnya.

Ellie berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan dan pelancaran filem Mat Kilau di Petaling Jaya malam tadi.

Terdahulu, Azri, 54, memaklumkan dia bakal berkahwin dengan Azra selepas melalui perkenalan yang singkat, iaitu bermula 12 hari selepas dia berpisah dengan Ellie pada 17 Mei lalu.

Azri dan Ellie bercerai selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan dua anak, iaitu Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13.

Dua hari kemudian, tiba-tiba muncul pula wanita yang dikenali dengan gelaran “F” mendakwa Azri pernah mengajaknya berkahwin.

Namun, Azri mendakwa dia tidak pernah berjanji sedemikian malah hanya menghubungi wanita itu kerana ingin meminta bantuan pengangkutan.

Kata Ellie lagi, anak-anaknya turut bimbang kerana Azri membuat keputusan untuk berkahwin terlalu drastik.

“Dia juga dikecam ramai sebab hal ini. Cuma saya tak mahu dia terseksa. Saya juga tak sanggup lihat Azri seperti hilang arah bila hilang pekerjaan.

“Saya tak ada dendam walau sudah bercerai dengannya,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas lakonannya dalam Mat Kilau, Ellie memuji sisi baru pengarah Syamsul Yusof selepas melihat hasil usahanya pada tayangan perdana malam tadi.

Menurut Ellie, walaupun hanya melakonkan dua babak, dia menerimanya dengan berlapang dada sebagai memberi sokongan kepada pengarah muda itu.

“Saya tak fikir panjang sebab ia tetap watak penting. Tapi saya ucapkan tahniah pada Syamsul untuk sisi barunya sebagai pengarah,” katanya.