Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenazah Adibah Noor selamat dikebumikan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jenazah penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Pengebumian Adibah Noor berjalan lancar dengan dihadiri bapanya Mohamed Omar Zainal Abidin, 87, dan ahli keluarga serta lebih 100 kenalan rapat dan rakan artis.

Antara selebriti yang hadir Afdlin Shauki, Hans Isaac, M Nasir, Nikki Palikat, Remy Ishak, Linda Onn dan Ziana Zain.

Terdahulu, jenazah allahyarhamah dimandi dan dikafan di Masjid Al-Ansar Taman Keramat kira-kira 9.30 pagi.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi ketika jenazah allahyarhamah tiba di tanah perkuburan dengan rata-rata hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir.

Penyanyi Nikki berkata dia menganggap Adibah Noor sebagai seorang kakak yang sering menasihatinya untuk menjaga kesihatan.

“Dia selalu beri teguran untuk utamakan diri sendiri, dia pun berkongsi ada mengalami pendarahan mengejut yang terlalu banyak ketika buat show.

"Selepas itu dia kata, dia ada buat pemeriksaan di hospital, tapi tak ada apa-apa.

“Rupa-rupanya itu adalah tanda awal dia ada kanser. Kita pun tidak sangka sebab dia jenis yang ceria dan apabila sedih pun dia sentiasa buat orang ketawa,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan.

Pengarah dan pelakon Hans Isaac pula berkata Adibah Noor ialah seorang yang sangat positif dan sentiasa menyokong setiap karyanya.

“Dia selalu (suarakan) isu kebajikan orang lain dalam industri, dia sentiasa berjuang untuk kepentingan orang lain, dia tidak pernah mengeluh mengenai diri sendiri,” katanya.

Adibah Noor meninggal dunia di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur kira-kira jam 7.45 malam tadi akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

- Bernama