Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertuduhan ke atas Yasin kekal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu pertuduhan menanam 17 pokok ganja membabitkan Yasin Sulaiman kekal dibuat mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika prosiding dijalankan timbalan pendakwa raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, juga mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan Jabatan Kimia Malaysia pada petang semalam.

“Untuk kes ini, pertuduhan adalah kekal dan pihak kami mohon agar mahkamah dapat menetapkan tarikh bagi serahan dokumen kepada pihak pembelaan,” katanya dalam prosiding di hadapan hakim Jamaludin Mat.

Peguam yang mewakili penyanyi Mimpi Laila itu, Ariff Azami Hussien, tidak membantah permohonan tersebut.

“Terima kasih kepada mahkamah dan pihak pendakwaan kerana laporan kimia siap dalam masa yang singkat.

“Mohon agar mahkamah dapat menetapkan tarikh yang lebih singkat, dua minggu, jika memadai,” katanya dipetik Sinar Harian.

Jamaludin kemudian menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada 31 Mac lalu, Yasin mengaku tidak bersalah atas tuduhan menanam 17 pokok disyaki kanabis (ganja) di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara.

Dia ditahan pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pula, majistret Zhafran Rahim Hamzah juga menetapkan 6 Julai sebutan semula pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram.

Tarikh itu ditetapkan selepas Mohd Asnawi memberitahu mereka akan meneliti laporan kimia berhubung kes berkenaan.

Selain Ariff Azami, Yasin turut diwakili peguam Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff.

Penyanyi itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B (2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam sidang media selepas prosiding berkenaan Yusmadi berkata, Yasin memerlukan rawatan pakar untuk penyakit bipolar yang dihidapi penyanyi terbabit di hospital yang mempunyai rekod kesihatan terdahulu.

“Saya difahamkan Yasin sudah dibawa sekali ke Hospital Sungai Buloh, tetapi lebih baik jika dia mendapatkan rawatan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Pantai Kuala Lumpur yang sudah mempunyai rekodnya.

“Dalam hal ini juga, pihak penjara memahami keadaan Yasin dan membekalkan ubat kepadanya melalui penyeliaan pihak terbabit, ia sudah tentu akan membantu Yasin,” katanya.