Skip to main
Logo Malaysiakini

Noor Nabila bela Sharnaaz, kenang sikap penyayang bekas suami

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

“Taklah, dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan bapa yang sayangkan anak, itu saya tak boleh nafikan,” demikian pengakuan Noor Nabila, berhubung sikap baran bekas suaminya, Sharnaaz Ahmad.

Kakak kepada Neelofa itu menegaskan, Sharnaaz tidak akan sesekali ringan tangan terhadap anak mereka, Jebat Jayden Ahmad.

Menguatkan kenyatannya itu, Nabila menunjukkan bukti sifat penyayang Sharnaaz terhadap anak mereka yang kini berusia tiga tahun melalui perkongsian video sebaik dia dibebaskan daripada tahanan reman polis 20 Jun lalu.

“Tiga hari mereka anak beranak tak berjumpa, menitik air mata Sharnaaz bila peluk Jebat,” katanya.

Noor Nabila berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Naelofar x Disney Alice In Wonderland di sebuah kompleks beli-belah di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, melalui sebuah video yang dimuat naik di Instagram, Sharnaaz - atau mesra disapa Mamu - ketika dia memeluk erat dan berkali-kali mencium pipi anaknya.

Sharnaaz dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari direman susulan kes pukul di sebuah kondominium di Segambut pada 16 Jun lalu.

Pelakon Darah Panas itu dalam kenyataannya sebaik dibebaskan berkata, dia tidak akan bertindak bodoh, namun mengakui sikap baran memang sinonim dengan dirinya.

Sharnaaz juga berkata akan membersihkan namanya melalui sidang media yang akan diadakan pada waktu terdekat ini.

Diminta mengulas kejadian berkenaan, Noor Nabila, 37, berkata dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada Sharnaaz namun dia enggan mengulas secara terperinci.

“Saya tak berani komen sebab kes ni babitkan polis dan peguam. Saya tak mahu masuk campur.

“Saya ada minta Sharnaaz bercakap jujur dan dia kemudian jelaskan segala-galanya. Saya ‘berdiri’ di belakangnya.

“Saya ambil pendirian begitu kerana apa yang dilaporkan dalam berita amat berlainan daripada apa yang Sharnaaz maklumkan pada saya,” katanya.