Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Nurhaliza janji konsert untuk anak yatim, B40 tetap 'hangat'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Teruja semua tiket konsertnya habis terjual, Siti Nurhaliza Tarudin berjanji persembahannya pada 6 Ogos ini - untuk meraikan anak-anak yatim dan golongan B40 - akan dilangsungkan sebaik mungkin.

Bagi penyanyi nombor satu negara itu, sebagai penghibur dia komited untuk memberikan persembahan seikhlas mungkin tanpa perlu membezakan mana-mana golongan.

“Saya akan lakukan persembahan seperti biasa untuk Dato’ Seri Siti Nurhaliza: Queen Of The Night. Tak ada istilah pilih kasih bagi saya (walaupun untuk anak yatim dan B40).

“Saya mahu apabila penonton yang hadir melihat persembahan malam tu pulang ke rumah, mereka boleh ingat banyak momen indah," katanya.

Justeru kata Siti Nurhaliza dia perlu mempersiapkan dirinya dengan baik selain berdoa agar tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Dengan itu katanya dia boleh memberikan persembahan vokal yang mantap, berkesan serta menghiburkan.

Dia berkata demikian pada majlis pelancaran konsert itu di Dulang Lounge, Tower 2, Menara Berkembar Petronas, KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Impian jadi kenyataan

Persembahan selama 90 minit itu dibawakan oleh B De Paris dan akan diadakan di Hotel Royale Chulan mulai jam 8 malam.

Dato’ Seri Siti Nurhaliza: Queen Of The Night itu akan diiringi lima pemuzik manakala Aubrey Suwito menjadi pengarah muzik.

Siti Nurhaliza, 43, berkata konsert itu juga mempunyai kelainan kerana ia dirancang khusus untuk anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya terkejut kerana penganjur memaklumkan bahawa pihaknya sudah membeli kesemua tiket bagi meja yang dijual untuk dihadiahkan pada golongan B40.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ada pihak yang prihatin. Tiket dah lama terjual cuma saya baru diberitahu untuk disumbangkan pada golongan mana. Seronok apabila dengar hasrat sedemikian.

“Ramai peminat saya datang daripada pelbagai pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah dan tentu mereka juga nak menyaksikan persembahan saya.

"Kali ni, mereka yang terpilih diberi kesempatan itu,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Metamorphosis, Razalif Mohamad Zain, berkata nama Siti Nurhaliza terus dicadangkan sebaik saja badan itu dan penganjur memutuskan untuk mengadakan konsert tersebut.

Kata Razalif, penyanyi itu adalah penghibur yang disayangi dan dihormati rakyat negara ini.

“Impian anak-anak yatim dan golongan B40 untuk bertemu Siti Nurhaliza adalah impian yang menjadi kenyataan,” katanya.

Razalif menambah, 450 tempat duduk itu telah dibeli oleh yayasan berkenaan khas untuk keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kami juga akan menyediakan bas khas untuk mengangkut tetamu ke tempat tu nanti,” katanya.