Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelakon Law & Order, Mary Mara, dipercayai mati lemas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bintang siri televisyen popular Law & Order, Mary Mara dipercayai meninggal dunia akibat mati lemas di Sungai St Lawrence, New York pada 26 Jun lalu.

CNN melaporkan, pengurus, Mara, Craig Dorfman mengesahkan berita dukacita tersebut.

Polis tempatan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan pada Ahad lalu sekitar jam 8.10 pagi (waktu tempatan) berhubung kehilangan Mary sewaktu dia berenang di situ.

“Siasatan awal mendapati aktres itu meninggal dunia akibat lemas dan menolak sebarang kekerasan fizikal,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, pegawai perubatan dari Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Jefferson dijangka melakukan bedah siasat bagi mengetahui punca lanjut.

Sementara itu, pihak keluarga Mara memaklumkan aktres itu sedang bercuti dengan kakaknya, Martha Mara di rumah singgah mereka. Kediaman tersebut dilaporkan terletak berhadapan sungai.

Selain menjayakan Law & Order, Mara juga dikenali sepanjang kariernya melalui pelbagai rancangan dan filem seperti dalam The Practice, Star Trek: Enterprise, Nash Bridges, ER, Ray Donovan, Mr Saturday Night, Love Potion #9 dan Break Even.